SEBERANG JAYA – Pelajar tingkatan lima yang maut dalam kemalangan di Kilometer 136.8, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, kelmarin sepatutnya menjalani ujian bertutur Bahasa Melayu bagi Peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, hari ini.
Mangsa, Nurul Ain Nadhirah Zulkhairi, 17, bagaimanapun tidak sempat menduduki ujian berkenaan selepas terbabit kemalangan yang meragut nyawa selepas motosikal dinaiki bersama rakan terbabas akibat tayar pecah kira-kira pukul 9.47 malam.
Nurul Ain merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Datuk Haji Ahmad Badawi di Kepala Batas.
Rakan karibnya, Norsyafiqah Mawardah Che Kak, 17, berkata, dia menerima panggilan daripada rakan yang memaklumkan kejadian menimpa Nurul Ain, pada pukul 10 malam.
“Walaupun kami tak sama kelas tetapi hubungan kami sangat rapat, seperti adik-beradik. Kami kenal sejak tingkatan satu dan saya rapat dengan keluarganya.
“Arwah menetap di Permatang Manggis, manakala saya pula di Pajak Song. Sepatutnya arwah menjalani ujian bertutur Bahasa Melayu esok (hari ini). Namun, apakan daya, Allah lebih sayangkannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Cerita Norsyafiqah, kali terakhir mereka bertemu adalah pada malam Isnin lalu ketika keluar makan malam bersama di Bertam, Kepala Batas.
“Pada hari itu, arwah berkali-kali pujuk saya untuk keluar makan malam bersama. Saya memang tak larat tapi tetap keluar dengannya dengan menaiki motosikal kira-kira pukul 9 malam.
“Pada malam itu, arwah hanya makan dua suap nasi ayam penyet sahaja dan beritahu dia sudah kenyang. Sedangkan sebelum ini dia akan habis makanannya,” katanya yang memberitahu arwah langsung tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang pelik.
Beritahu Norsyafiqah, Allahyarham Nurul Ain seorang yang baik hati dan suka menolong rakan-rakannya.
“Kalau saya tidak sihat, dialah orang pertama yang akan mai (datang) rumah saya. Memang terasa kehilangannya,” ujarnya yang turut mengiringi jenazah Nurul Ain dari Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), semalam.
Jelasnya, jenazah Nurul Ain dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Jamiul Badawi di Kepala Batas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, seorang remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal dinaikinya bersama lelaki berusia 23 tahun terbabit kemalangan di Kilometer 136.8, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, kira-kira pukul 9.47 malam, kelmarin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal terbabit dalam perjalanan dari arah Juru menuju ke Sungai Dua.
“Setibanya di lokasi kejadian, tayar belakang motosikal tersebut tiba-tiba pecah, menyebabkan penunggang hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kiri bahu jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal seorang lelaki Melayu mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya.
“Pembonceng motosikal seorang perempuan berusia 17 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini semalam.














