fbpx
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran tanah gambut di Rimba Panjang, wilayah Riau kelmarin. - AFP

Rakyat makin ‘sesak nafas’ sedut asap negara jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia kembali berdepan krisis jerebu apabila sejumlah besar titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan yang kini memberi kesan terus kepada kualiti udara di Pantai Barat Semenanjung khususnya di kawasan Port Dickson, Seremban dan Nilai.

Menurut Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail, sebanyak 79 titik panas telah dikenal pasti setakat ini, dan jumlah itu dijangka terus meningkat. 

Katanya, keadaan ini diburukkan lagi oleh tiupan angin barat daya yang membawa asap dari kebakaran terus ke ruang udara Malaysia, menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan mencatatkan tahap tidak sihat.

“Jika angka titik panas mencecah lebih seribu seperti yang pernah direkodkan sebelum ini, kita mungkin akan menyaksikan kesan yang jauh lebih teruk. Ini bukan isu baharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ahmad menegaskan bahawa kejadian jerebu sejak tahun 1972 lagi sepatutnya telah membuka mata pelbagai pihak untuk mencapai penyelesaian serantau secara menyeluruh. 

Namun, katanya sehingga kini, masalah itu masih berulang malah semakin sukar dikawal apabila fenomena cuaca kering dan El Nino berlaku.

“Kejadian jerebu sejak 1972 sudah cukup lama untuk penyelesaian bersama. Tahun 2023 hingga 2025 dijangka jerebu kembali meningkat apabila cuaca kering dan El Nino,” jelasnya.

Tegasnya, kerajaan serta agensi berkaitan perlu lebih bersedia dengan langkah mitigasi serta intervensi lebih awal, bukannya menunggu krisis memuncak.

Beliau turut menyeru Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mengeluarkan laporan kesihatan berkala berkaitan kes penyakit pernafasan, supaya dapat dibandingkan dengan insiden jerebu terdahulu serta dijadikan asas dalam menyusun strategi kesihatan awam.

Mengulas mengenai peranan serantau, beliau menekankan bahawa ‘ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP)’ mesti diperkasakan dan tidak hanya tinggal sebagai dokumen diplomatik semata-mata.

“AATHP bukan hanya untuk dipamerkan atas kertas. Ia perlu dilaksana secara tegas dan berkesan. Perjanjian itu merangkumi elemen pencegahan, pemantauan serta bantuan bersama. 

“Jika dilaksana dengan komitmen tinggi, jerebu boleh dicegah daripada menjadi bencana tahunan,” jelasnya.

Tambah Ahmad, negara-negara anggota ASEAN, khususnya Malaysia dan Indonesia, harus menggiatkan kerjasama saintifik antara institusi penyelidikan dua negara dalam menangani isu jerebu, termasuk aspek pemantauan satelit, kajian tanah gambut, pemulihan ekosistem serta pendidikan komuniti setempat.

Ahmad juga mencadangkan supaya program strategik berkaitan pengurusan tanah gambut secara lestari digiatkan melalui pelbagai pendekatan seperti penyelidikan saintifik, pelaksanaan dasar tanah mampan dan sokongan teknikal serantau.

“Tanah gambut yang tidak diurus dengan baik akan terus menjadi pencetus utama kebakaran berskala besar. Usaha pengurusan lestari perlu dijadikan agenda utama dalam pelan mitigasi jerebu ASEAN,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, berdasarkan analisis imej satelit NOAA-20 dikeluarkan Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) pada 18 Julai lalu, mendapati wujud 79 titik panas di kawasan Sumatera, Indonesia.

“Ia berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu berkenaan yang dibawa (ke Malaysia) oleh tiupan angin barat daya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN