KETIKA di usia remaja, berbekalkan duit raya yang dikumpul olehnya, selebriti ini berjaya merealisasikan impiannya untuk memiliki telefon bimbit idaman.
Tanpa disuruh oleh sesiapa, niat untuk membeli telefon bimbit jenis Blackberry itu merupakan insiatif Muaz Mohsin sendiri kerana penggunaan peranti itu merupakan satu trend ketika itu.
Meskipun mengikuti kehendak zaman, Muaz yang merupakan pelakon baharu mengakui ketika itu dia mahu memiliki telefon bimbit sebagai kemudahan untuk berhubung.
“Saya dibesarkan dalam persekitaran yang gemar berhubung secara fizikal dan kurang bermain dengan gajet atau permainan video.
“Mula-mula beli telefon bimbit pun sebenarnya untuk memudahkan saya berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Baginya, perjalanan teknologi dan gajet bukan sekadar trend, tetapi satu perjalanan penuh kenangan dan pada masa sama membentuk kerjayanya hari ini.
Seiring peredaran masa, Muaz mula beralih kepada gajet lebih canggih seperti Samsung dan kemudian iPhone, yang disifatkannya selari perkembangan kehidupan.
Baginya, telefon pintar bukan sekadar alat komunikasi, tetapi aset penting dalam dunia hiburan.

“Saya upgrade gajet sebagai pelaburan, sebab ia bantu jana pendapatan, buat kandungan dan bina jaringan dalam industri.
“Saya bermula dengan Android, kemudian beralih kepada iOS kerana kelebihan grafik dan pengalaman pengguna yang lebih memuaskan serta lebih mesra untuk penghasilan video,” ujarnya.
Tambahnya, dalam menggunkaan iPhone dia bermula dengan model iPhone 4 dan kini sudah memiliki iPhone 16.
Kongsinya lagi, sebagai pelakon yang juga bercita-cita menjadi pengarah, Muaz sering menggunakan telefonnya untuk melatih diri menghasilkan shot menarik dan gaya dramatik.
“Sebelum mampu beli komputer, saya edit terus di iPhone kerana lebih mudah, boleh buat di mana-mana.
“Saya kerap menggunakan aplikasi seperti CapCut dan Canva serta media sosial seperti Instagram dan TikTok untuk mempromosi karya,” jelasnya.

Muaz juga berkongsi bagaimana telefon pintar membantunya dalam dunia lakonan di mana dia menjadikan telefon sebagai pengganti cermin untuk merakam latihan dalam setiap watak.
Dengan cara itu,dia belajar teknik berlakon, ekspresi muka dan lain-lain kemahiran sebelum ke set penggambaran.
Apabila ditanya tentang gajet idaman, Muaz menyebut dia ingin memiliki MacBook kerana rekaan yang ringan dan sistem yang mudah digunakan.
“Macbook sangat ideal dan ia melengkapkan ekosistem kerja kreatif saya yang ingin menghasilkan filem sendiri suatu hari nanti. Buat masa ini saya guna telefon pintar saja dahulu dan pada masa akan datang jika ada rezeki boleh gunakan Macbook,” kongsinya.
Bermula daripada seorang anak muda yang pernah bermain bola sepak untuk salah satu kelab di Kelantan, Muaz kini mengukir nama dalam dunia lakonan dengan bantuan teknologi.
Baginya, gajet bukan sekadar alat, tetapi rakan seperjuangan dalam membina kerjaya dan mengejar impian sebagai pengarah filem suatu hari nanti.















