fbpx
Mereka yang bekerja sekitar Hotel Concorde Kuala Lumpur kini boleh menikmati hidangan stimbot yang menyelerakan.

Bufet stimbot sasar pekerja sekitar hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NOSTALGIA makan bubur dan stimbot lewat malam yang pernah menjadi kegemaran ramai sebelum ini membuatkan Hotel Concorde Kuala Lumpur memperkenalkan Jom Makan-Makan Hot Pot Buffet.

Bufet makan malam itu diadakan setiap hari Rabu dan Khamis, dari pukul 6 petang hingga 10 malam.

Menurut Cef Eksekutif Hotel Concorde Kuala Lumpur, Adriano Teng, pilihan untuk tidak mengadakannya pada hujung minggu kerana ingin memberikan peluang kepada pelanggan yang bekerja berhampiran lokasi hotel untuk menikmati makan malam tanpa perlu berdepan dengan kesesakan lalu lintas.

“Kami memilih untuk mengadakan bufet ini pada hari Rabu dan Khamis kerana menyasarkan golongan profesional yang bekerja di kawasan berhampiran kerana terdapat banyak bangunan pejabat berdekatan dengan hotel.

“Bahkan lokasi hotel ini juga berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti stesen LRT Bukit Nanas (LRT laluan Kelana Jaya) dan MRT Bukit Bintang (MRT laluan Kajang) yang memudahkan pelancong serta warga tempatan yang ingin menggunakan kemudahan awam,” katanya kepada CitaRasa.

Adriano turut memberitahu pelanggan berpeluang merasai sendiri pengalaman kulinari dengan menggunakan bahan mentah berkualiti tinggi.

Pada masa sama, pelanggan juga berpeluang untuk menyediakan hidangan sendiri dan bereksperimen dengan lebih 10 bahan bagi menyediakan sos pencicah mengikut cita rasa masing-masing.

Para kakitangan hotel menyediakan bahan-bahan bufet.

“Kami sangat mengutamakan daging, hasil laut dan sayuran yang berkualiti untuk dinikmati pelanggan. Bagi daging shabu-shabu kami import khas dari Australia, manakala kambing pula datang dari New Zealand.

“Terdapat juga bahan sos yang kami ambil dari China dan Jepun. Biarpun dari luar negara, pelanggan tidak perlu bimbang kerana kami juga memastikan produk halal dan dapat pengesahan pihak berkuasa,” katanya.

Bagi memberikan pengalaman luar biasa, terdapat lima pilihan sup yang membangkitkan selera antaranya kari, tom yam, sup ayam, tomato dan kimchi.

Pelanggan bebas memilih jenis sup kegemaran sebelum dicampurkan dengan bahan masakan seperti hirisan daging lembu, ayam, udang harimau, kupang asari, bebola ikan, ketam stik, gyoza serta lebih 15 jenis sayuran dan cendawan segar termasuk jagung muda.

Bagi memberikan keunikan, Hotel Concorde turut menyediakan hidangan teppanyaki yang dimasak oleh cef profesional dengan menawarkan pelbagai pilihan menu seperti bahu kambing, ayam dan sayuran segar untuk dinikmati bersama sos soy butter teppan dan teriyaki butter.

Pengunjung juga boleh nikmati hidangan sampingan nasi goreng yong chow, mi goreng mamak, tempura sayur dan udang bersama ayam karaage (ayam goreng cara Jepun) serta sos wasabi mayo.

Pengalaman makan dilengkapkan dengan pencuci mulut kek keju sitrus Jepun, red velvet, tiramisu Itali, ABC, aiskrim dan buah-buahan segar. Minuman pula teh lemon ais dan sirap limau.
Bufet tersebut boleh didapati pada harga RM98 untuk dewasa, manakala kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun menikmati diskaun 50 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN