MISNAWATI (empat dari kanan) bersama para peserta yang mengikuti bengkel gubahan bunga dan buah di pejabat SSM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bengkel gubahan bunga hidup dan buah uji kreativiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMRAH bagi kebanyakan wanita untuk meminati bunga.

Nor Syairah Sulaiman, 34, juga suka dengan bunga dan baginya bunga itu lambang kecantikan, keindahan, kelembutan dan kasih sayang.

Malah, jika ada waktu terluang dia sering ke kedai bunga untuk membeli pelbagai jenis bunga untuk dihiaskan di dalam pasu di rumahnya.

“Saya memang suka bunga dan gemar menggubahnya untuk dijadikan hiasan.

“Bagi saya, menggubah bunga seakan memberi satu terapi buat diri,” katanya.

Selama ini, dia menggubah bunga mengikut kreativitinya sendiri tanpa mendapatkan sebarang tunjuk ajar daripada sesiapa.

Namun begitu, baru-baru Nor Syairah tidak melepaskan peluang untuk menyertai Bengkel Gubahan Bunga dan Buah di pejabatnya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Kelab Sukan & Kebajikan SSM.

Dalam bengkel tersebut, dia dapat belajar untuk menggubah bunga hidup dan buah-buahan.

Nor Syairah mengambil peluang itu untuk mendalami teknik gubahan bunga dengan lebih betul daripada mereka yang lebih berpengetahuan.

“Sebelum ini, jika ke kedai bunga saya akan main beli sahaja bunga yang sesuai di pandangan mata.

“Namun melalui bengkel ini, saya dapat belajar tentang bagaimana untuk memilih jenis bunga yang sesuai untuk digubah bersama, pemilihan warna bunga yang tepat, cara susunan yang betul dan banyak lagi.

“Selain itu, kami juga diajar untuk melakukan gubahan buah yang boleh dijadikan sebagai satu bentuk buah tangan untuk diberikan kepada orang lain,” jelasnya.

PARA peserta tekun mengikuti bengkel.

Tambahnya, bengkel ini juga dapat menguji kreativiti untuk menggubah bunga dengan tunjuk ajar daripada penggubah bunga berpengalaman.

Peserta yang menyertai bengkel gubahan bunga dan buah tersebut mendapat tunjuk ajar daripada pemilik Bouquet World Florist, Misnawati Ridwan.

Misnawati berkata, dalam bengkel itu dia telah mengajar 10 wanita yang berminat dalam seni gubahan bunga hidup dan buah.

“Saya mengajar mereka gubahan bunga di atas meja, di sini mereka didedahkan dengan kemahiran untuk menyusun bunga yang betul di dalam pasu bunga untuk diletakkan di dalam rumah ataupun dijadikan hiasan untuk sambutan sesuatu majlis keraian.

“Mereka diajar asas tentang pemilihan bunga, potongan bunga dan cara susunan.

“Selain itu, saya juga ajar mereka bagaimana cara penyimpanan bunga agar tahan lebih lama, cara pemilihan bunga yang betul, gabungan bunga yang tepat dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam masa sama, Misnawati turut menekankan kepentingan memilih bunga dan warna yang sesuai untuk sesuatu acara.

Ini kerana setiap warna bunga membawa makna tersendiri.

Sebagai contoh, jika kita ingin menghias rumah untuk sebarang majlis keraian pemilihan warna yang klasik dan lembut digalakkan, manakala untuk pemberian bunga sempena ulang tahun kelahiran warna-warna bunga yang garang melambangkan keceriaan. Gabungan dengan warna bunga cerah atau muda juga boleh dipertimbang.

Elakkan untuk memberi bunga berwarna putih sempena ulang tahun kelahiran kerana warna itu lambang untuk berduka cita.

SALAH seorang peserta mnenunjukkan gubahan bunga yang dipelajarinya,

Mendalami kemahiran gubahan bunga hidup ini merupakan satu perkara yang menyeronokkan dan dalam masa yang sama dapat membantu kita semua untuk berjimat.

Misnawati berkata, sebenarnya bunga hidup ini tidak mahal, tetapi ia akan menjadi mahal jika kita membeli bunga yang telah digubah.

“Sebagai contoh, jika kita membeli gubahan bunga yang kecil harga paling murah hampir RM50, tetapi jika kita membeli bunga dan menggubahnya sendiri kosnya tidak sampai RM10.

“Sebenarnya, bunga ini tidak mahal dan kita boleh menambah nilai melalui gubahannya,” terangnya.

Tambah Misnawati, ini juga akan membantu menjimatkan kos, apabila untuk sebarang acara mereka boleh menggubah bunga sendiri.

Selain itu, dalam bengkel itu, peserta juga didedahkan dengan kemahiran gubahan buah oleh Misnawati.

Dia memberi tunjuk ajar untuk menghasilkan ‘fruit basket’ yang boleh diberi ketika melawat orang sakit di hospital mahupun sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahiran.

Misnawati berpendapat, gubahan bunga atau buah bukan sekadar aktiviti seni, tetapi juga terapi emosi.

“Ia mampu mengurangkan tekanan dan menguji kreativiti kita.

“Malah, ketika stres apabila kita tengok bunga dan memotong bunga ia mampu untuk memberikan ketenangan rasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN