fbpx
Mempunyai badan yang berpetak, SUV ini juga lasak dan boleh digunakan untuk off-road.

Pacuan semua roda SUV badan berpetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GAYA premium dan keupayaan maksimum, Jaecoo J7 hadir dengan reka bentuk mewah serta tawaran harga yang kompetitif.

Walaupun baru setahun berada di pasaran, Jaecoo yang kini dijenamakan semula sebagai Omoda Jaecoo terus berkembang dan model pertama Jaecoo J7 mendapat sambutan baik dan dilihat banyak meluncur di jalan raya negara.

Untuk pasaran tempatan, Jaecoo J7 ditawarkan dengan dua pilihan iaitu versi pacuan semua roda (AWD) yang dijual pada harga RM148,800, manakala pilihan dua roda (2WD) ditawarkan pada harga RM138,800 selepas dilancarkan pada Julai 2024.

Pada tahun lalu, lebih 12,000 kenderaan Jaecoo telah didaftarkan dan rangkaian jenama itu berkembang kepada 45 pengedar di seluruh negara.

Syarikat itu turut membawa Sistem Super Hibrid (SHS) ke Malaysia dengan pelancaran J7 hibrid plug-in (PHEV) pada Februari tahun ini.

J7 merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) direka khas untuk mereka yang menghargai kemewahan serta tarikan terbaharu padanya dengan kebolehan meredah off-road.

Baru-baru ini penulis berpeluang memandu uji Jaecoo J7 varian AWD selama seminggu bagi menilai sendiri keupayaan SUV ini, adakah gaya premiumnya selari dengan prestasi.

Jaecoo J7 AWD mempunyai tujuh mod pemanduan Eco, Normal, Sport, Sand, Mud, Off-road & Snow berbanding 2WD yang hanya mempunyai tiga mod.

Dari segi reka bentuk, penulis tertarik dengan rekaan luaran dan dalaman J7 yang menampilkan dimensi terkini bagi SUV pacuan empat roda.

Kenderaan SUV ini direka khas untuk mereka yang menghargai kemewahan.

Jika sekali pandang, J7 mungkin hanya sesuai digunakan sebagai kenderaan keluarga di bandar, namun spesifikasinya yang luar biasa terbukti mampu merempuh hutan dan jalan rintangan.

SUV ini bukan sahaja hebat di atas jalan raya, malah ia tampil dengan reka bentuk ranggi dan maskulin ala-ala kereta Range Rover versi marhaen.

Gril hadapan yang besar, lampu LED moden, serta bumbung panoramik menambahkan lagi elemen premium pada J7.

Tidak kira sama ada anda memandu di bandar atau meredah laluan kampung, SUV ini pasti menjadikan pengalaman pemanduan bersama amat menenangkan dan selesa.

Ia diperkemas dengan perincian rim aloi bersaiz 19 inci dan kaliper brek merah dengan cakera alih udara.

Roda depannya pula disokong oleh suspensi Strut MacPherson, manakala roda belakang menggunakan suspensi berbilang pautan.

Kemasan premium J7 diserlahkan dengan reka bentuk badan berpetak yang minimalis dan pemegang pintu rata yang kekal tersembunyi apabila kereta dikunci dan bergerak, sehinggalah kunci pintu dibuka.

J7 menampilkan lampu belakang dengan bar garisan lurus dengan lencana ejaan Jaecoo itu sendiri.

Dari segi dimensi, SUV mewah mampu milik, Jaecoo J7 berukuran 4,500 milimeter (mm) panjang, 1,865mm lebar, 1,680mm tinggi dan jarak roda 2,762mm.

J7 mempunyai kapasiti ruang but 424 liter dan mampu mencapai 1,349 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata.

Ini menjadikan J7 pilihan ideal untuk pemanduan balik kampung atau mengembara bersama keluarga tanpa perlu berkompromi dengan keselesaan dan keselamatan.

SUV ini dihasilkan dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200mm yang membolehkan J7 meredah air pada kedalaman 600mm.

Dari segi prestasi, J7 AWD dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 1.6 liter yang memberi kuasa output maksimum 194 hp dan 290 Nm kuasa tork.

SUV ini dipadankan dengan transmisi dwiklac tujuh kelajuan yang memberi pecutan dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 9.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180km/j.

Ketika memulakan pemanduan, penulis merasakan jentera ini agak berat mungkin disebabkan saiznya yang besar tidak dapat menampung enjin 1.6 liter.

Namun, apabila mod pemanduan diubah daripada Eco kepada Normal, pemanduan menjadi lebih lancar dan penulis dapat merasakan prestasinya.

Apabila pedal minyak ditekan, pecutan selari dan stabil dengan sistem brek sangat responsif tidak rasa ‘terbuai’.

GRIL hadapan yang besar dengan lampu LED moden menambahkan elemen premium kenderaan ini.

Meninjau ke ruangan kabin, J7 mempamerkan kemewahan dengan mempunyai paparan skrin multimedia sebesar 14.8 inci dengan mempunyai sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk memberikan maklumat pemanduan kenderaan yang lebih jelas, paparan meter digital berukuran 10.25 inci disediakan dalam kenderaan premium ini bersama paparan head-up (HUD).

Selain itu, lampu ambien sebanyak 64 pilihan turut dilengkapkan untuk memberikan rasa mewah.

Keselesaan turut menjadi keutamaan dalam rekaan J7 dengan tempat duduk menggunakan material upholsteri kulit sintetik warna hitam dengan fungsi pelarasan elektrik untuk tempat duduk hadapan.

Perincian lain yang turut diberikan termasuk cermin privasi belakang, sistem kunci pintar bersama penghidup enjin kawalan jauh, cermin penebat haba serta bumbung suria panaromik.

Kesimpulannya, Jaecoo J7 merupakan sebuah SUV premium yang sesuai untuk pemanduan di bandar dan mengembara dengan reka bentuk versatil.

Harganya sesuai untuk golongan marhaen dengan ciri-ciri mewah dan teknologi terkini, kiranya boleh dikatakan pakej lengkap yang amat berbaloi untuk dimiliki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN