fbpx
Jaecoo J8 bukan sahaja lincah di bandar bahkan sangat berani di laluan off-road.

J8 pengembaraan lasak kelas pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS genap setahun Omoda Jaecoo melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Jaecoo J7 yang popular, kini jenama automotif dari China itu melancarkan model SUV kedua mereka Jaecoo J8 pada pertengahan Julai lalu.

Selaras konsep ‘Pengembaraan Lasak Kelas Pertama’, Jaecoo J8 menjadi pelengkap kepada rangkaian kenderaan Omoda Jaecoo yang direka untuk memenuhi cita rasa pengguna moden, terutama dalam segmen SUV premium.

J8 sebagai adik kepada J7 dikatakan lebih elegan dan premium dengan penawaran dari segi teknologi, prestasi dan pengembaraan yang telah dinaik taraf.

Menariknya, Jaecoo J8 ini bukan sahaja ‘lincah’ di bandar tetapi ‘berani’ di laluan off-road walaupun rupanya nampak eksklusif dengan penataan prinsip kemewahan.

Baru-baru ini penulis bersama rakan media lain telah diberi peluang untuk memandu uji Jaecoo J8 di laluan off-road bertempat di Sepang Bay 13, Selangor bagi menguji kemampuan sebenar SUV premium ini.

Jaecoo J8 ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan dua roda (2WD) yang dijual pada harga bermula RM178,800 dan pacuan semua roda (AWD) RM198,800 atas jalan raya tanpa insurans.

Pemanduan kali ini menggunakan varian AWD yang dilengkapi dengan teknologi ‘Dynamic Torque Vectoring’ dengan kuasa dihantar ke roda untuk menghasilkan cengkaman terbaik serta meningkatkan kestabilan di permukaan jalan licin dan tidak rata.

Dengan keadaan cuaca yang agak baik, penulis mula mengaktifkan mod pemanduan off-road dan meluncur perlahan-lahan di litar ekstrem dengan laluan tanah merah dan berbatu.

Sebanyak enam halangan yang perlu ditempuh iaitu Rock Crawl, Side Slope, Log Run, Big Hill, Elephant Steps dan Water Wading.

Sejujurnya penulis sebagai pemandu amatur off-road agak ragu-ragu dengan kemampuan SUV ini, namun tanggapan itu berubah apabila memulakan pemanduan dengan dibantu oleh pelatih profesional di sebelah.

Seakan ada ‘kuasa’ luar biasa, penulis rasa yakin memandu di laluan off-road apabila SUV yang dipacu oleh enjin petrol dua liter turbo dengan suntikan terus, menghasilkan 249 PS (183 kW) dan tork 385 Nm ini tidak memerlukan sela masa yang lama untuk meredah semua rintangan dengan konsisten.

Ujian bermula dengan halangan Rock Crawl yang menguji kawalan tork perlahan dan jarak kelegaan bawah jentera. Dengan mod off-road diaktifkan, J8 dapat meluncur dengan mudah.

Di bahagian dalam kabin kereta, penulis masih rasa selesa walaupun pada hakikatnya jentera ini sedang meloncat untuk melepasi laluan berbatu yang agak besar.

Reka bentuknya juga menarik dengan gril hadapan bermotif air terjun.

Seterusnya, di laluan Side Slope, kawalan Dynamic Torque Vectoring dalam Jaecoo J8 membuktikan kehebatannya untuk mengekalkan kestabilan badan dalam situasi laluan yang curam apabila hanya satu sisi kenderaan berada di atas permukaan tinggi.

Halangan Log Run atau permukaan tidak rata juga berjaya ditempuh dengan lancar, dengan penumpang kekal selesa, membuktikan suspensi Continuous Damping Control (CDC) berfungsi cemerlang.

Untuk laluan berbukit cabaran Big Hill, ia menguji kemampuan mendaki jentera ini yang dapat dilakukan dengan mudah.

Semasa menuruni bukit curam pula, sistem Hill Descent Control (HDC) mengambil alih sepenuhnya ketika turun bukit, tanpa memerlukan sentuhan brek.

Sistem ini secara aktif mengagihkan kuasa dan mengawal cengkaman setiap roda, memastikan SUV kekal seimbang tanpa risiko tergelincir atau terbalik.

Ujian Elephant Steps pula menguji kekuatan casis dan pergerakan gandar. J8 tetap stabil walaupun bergerak hanya pada dua roda.

Halangan terakhir adalah Water Wading, jelas jentera J8 yang mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 170mm itu dengan mudah meredah air pada kedalaman 450mm.

Ciri-ciri ini agak praktikal untuk sebuah SUV mewah di Malaysia kerana pengguna ada kalanya perlu meredah banjir akibat hujan lebat di bandar atau disebabkan monsun.

Sedikit mengenai reka bentuk luaran, Jaecoo J8 terserlah dengan gril depan reka bentuk bermotif air terjun yang mengagumkan dan mampu meningkatkan pengaliran udara untuk penyejukan yang lebih cekap.

Penampilan luar SUV J8 menampakkan garis bentuk kemas dan pandangan sisi pada nisbah keemasan (golden ratio), diperkukuh oleh garis lilit ketara yang mempersembahkan penampilan menegak yang teguh.

Sementara itu, pemegang pintu tersembunyi terus memperkemas profilnya yang lebih aerodinamik sambil mengurangkan rintangan angin dan bunyi bising ketika pemanduan.

Keseimpulannya, J8 membuktikan SUV premium ini boleh mencapai keseimbangan antara prestij, teknologi dan keupayaan meredah off-road tanpa mengorbankan keselesaan dan gaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN