DUCATI sememangnya terkenal sebagai pengeluar motosikal dari Itali yang menghasilkan motosikal berkuasa tinggi dan berprestasi tinggi penuh gaya serta reka bentuk tersendiri.
Jenama ini mempunyai pelbagai jenis segmen motosikal termasuk sports bike, naked bike dan juga touring bike atau motosikal pengembaraan di jalan raya.
Terbaharu, Ducati menarik tumpuan ramai dengan penampilan motosikal DesertX yang berkemampuan di jalan raya dan off-road.
Menyorot sejarah, semasa Ducati dimiliki kumpulan Cagiva, Ducati pernah membekalkan enjin untuk model Cagiva Elefant 750 dan 900s. Reka bentuk DesertX ini banyak dipengaruhi oleh Lucky Strike Cagiva Elefant Paris-Dakar dari akhir 80-an dan awal 90-an.
Apapun, DesertX adalah sebuah jentera serba baharu tanpa penjelmaan apa-apa model sebelum ini, walaupun idea untuk motosikal itu lahir pada tahun 2019 apabila Ducati melancarkan mesin konsep gaya rali Dakar di Pameran EICMA di Milan. Motosikal tersebut menjadi tular sehingga Ducati memutuskan untuk membangunkan konsep itu menjadi realiti.

DesertX mewakili semua segmen baharu untuk Ducati. Setelah membuat langkah ke pasaran model off-road dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan rangkaian Scrambler serta pilihan Multistrada yang lebih tertumpu pada segmen pengembaraan, Ducati kini menggabungkan kedua-kedua segmen dengan menampilkan imej campuran motosikal off-road dan pengembaraan di jalan raya menerusi DesertX.
Setelah penulis mencuba motosikal DesertX di sepanjang beberapa laluan off-road yang agak mencabar meliputi jalan-jalan kebun, lorong berpasir hingga trek lereng bukit yang berbatu-batu dan melintasi anak sungai di Batangsi, Semenyih, jelas sekali peralihan Ducati ke pentas baharu segmen motosikal telah membuahkan hasil.
Mereka telah mencipta sebuah jentera yang mampu memuaskan hati penunggang off-road yang turut memberi prestasi jentera di atas jalan raya ke tahap yang begitu baik.
DesertX datang dengan pakej sebagai jentera pengembaraan dwikegunaan bagi atas jalan raya dan laluan off-road.
Casisnya sangat kukuh serta seimbang dengan handle yang kecil, namun sangat bertepatan. Sebuah jentera yang agak selesa bagi kedudukan badan untuk ditunggang sama ada di atas tar, tanah atau jalan berbatu.
Dengan ketinggian pelana sekitar 874 milimeter(mm) sudah pasti ia menjadi tempat duduk yang cukup selesa untuk ditunggang sepanjang hari.

Dengan kapasiti tangki sebanyak 21 liter, ia pastinya membolehkan anda menunggang DesertX tanpa henti untuk melakukan perjalanan yang jauh sebelum pengisian semula.
Cakera brek hadapan berkembar rotor 320mm yang dicengkam oleh angkup Brembo M50 monobloc mungkin kelihatan berlebihan pada sebuah motosikal yang direka untuk kegunaan off-road, tetapi sistem ABS yang dibangunkan dengan begitu baik tanpa mengganggu itu memberi keyakinan kepada penunggang untuk mengendali DesertX dengan cemerlang di atas jalan apabila diperlukan. Ia turut dilengkapkan dengan angkup dua omboh dan rotor 265mm di belakang.
Casis DesertX semuanya adalah serba baharu, dengan rangka keluli dan lengan ayun atau swing arm aluminium dan dilengkapkan dengan fork hadapan jenis terbalik KYB 46mm serta penyerap hentak tunggal KYB di belakang.
Sistem suspensi boleh diselaras sepenuhnya itu membenarkan jarak pergerakan sehingga 230mm di depan dan 221mm di belakang serta memberi 250mm bagi jarak kelegaan tanah yang sangat berguna bagi kegunaan off-road.
Sistem suspensi ini sangat membantu dalam memberi kualiti tunggangan yang sangat baik bagi apa saja landasan jalan sama ada di atas jalan raya atau off-road sehingga membolehkan DesertX sesuai ditunggang dalam kedua-dua persekitaran tanpa rasa terjejas.
Bukan sesuatu yang baharu bagi roda hadapan motosikal dwikegunaan termasuk off-road apabila dilengkapkan dengan rim hadapan bersaiz 21 inci dan 18 inci untuk belakang serta balutan tayar jenis Pirelli Scorpion Rally STR.
Bagi enjinnya pula, ia dikuasakan dengan Testastretta V-Twin 937cc yang mampu menghasilkan 110hp @ 9,250rpm dan daya kilas 92Nm @ 6,500rpm. Ducati memilih enjin V2 Testastretta yang terbukti hebat melalui enjin yang diguna pakai pada model Ducati Multistrada V2.
Untuk meter papan pemuka pula, ia dilengkapi skrin TFT 5 inci yang kemas, mudah dibaca dan dinavigasi pelbagai fungsi bagi enam mod tunggangan merangkumi Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally. Enduro atau Rally untuk kegunaan off-road.
Selain itu, pelbagai aspek tunggangan ini turut dibantu dengan ciri-ciri tambahan bagi sistem elektronik seperti ABS, kawalan brek enjin, kawalan antiwheelie dan kawalan cengkaman.
DesertX dijual pada harga bermula RM112,900 dengan dua tahun jaminan serta perbatuan tanpa had. Ia bersaing dengan beberapa jenama motosikal pengembaraan dwikegunaan di pasaran seperti BMW F850 Gs Adventure, Triumph Tiger 900 Rally Pro dan Honda CRF1100L Africa Twin.
















