MERCEDES Benz Malaysia (MBM) pada tahun lalu telah melancarkan model AMG CLA 45 S yang diperkemas.
Baru-baru ini penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model prestasi jenama Jerman itu selama beberapa hari.
AMG CLA 45 S merupakan sebuah sedan coupe empat pintu yang hadir dengan ciri-ciri 4Matic+ iaitu sistem pacuan semua roda yang telah ditambah baik dari sebelum ini.
Model ini menggunakan enjin 2.0 liter turbo dan penulis difahamkan ini ialah enjin 2.0 liter paling berkuasa di dunia. Banyak portal menyenaraikan model ini di kedudukan No. 1 enjin empat silinder berkuasa, sekali gus menggambarkan prestasi hebatnya dalam kelajuan dan pecutan.
Jentera ini menggunakan transmisi AMG SPEEDSHIFT DCT 8G dual-clutch. Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 421hp pada 6,750rpm dan tork tertinggi sehingga 500Nm antara 5,000 hingga 5,250rpm.
Atas kertas, kelajuan maksimum kereta ini sehingga 270 kilometer sejam (km/j). Kadar pecutan dari pegun hingga 100 km/j hanya dalam masa 4.1 saat.
Walaupun ia sebuah kereta berprestasi tinggi, penggunaan petrolnya tidak membebankan hanya sekitar 8.7 hingga 9 liter untuk perjalanan sejauh 100km.

Dari segi saiz atau dimensi luaran, panjang AMG CLA 45 S ialah 4,701 milimeter (mm), lebar 1,999mm dan tinggi 1,413mm. Saiz ruang simpanan barang pula ialah 460 liter.
Rekaan luarannya menggunakan jeriji radiator jenis vertikal, lampu utama Multibeam LED dan LED Tail light. Sirip-sirip di sisi bampar memberikan ciri aerodinamik. Model ini menggunakan rim AMG bersaiz 19 inci.
Kaliper brek berprestasi dengan warna merah menyerlahkan lagi aura perlumbaaan kereta ini.
Masuk ke ruang dalaman kereta ini, perkara pertama yang menyerlah ialah tempat duduk separa buket AMG. Stereng hadir dengan pelbagai butang kawalan untuk kereta ini.
Antara ciri menarik lain seperti sistem infotainment dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Dari segi pemanduan, lima mod pemanduan ditawarkan untuk dipilih oleh pemandu seperti Individu, Comfort, Sport, Sport + dan Race.
Setiap mod pemanduan memberikan rasa yang berbeza mengikut cita rasa pemandu dan kesesuaian pemanduan.
Kesimpulannya, walaupun AMG CLA 45 S kereta berprestasi tetapi ia masih sesuai dijadikan kereta harian kerana ciri-ciri sedan coupe yang dimiliki.
Sesiapa yang berjiwa ‘race’ dan berkemampuan mungkin boleh mempertimbangkan kereta ini yang menawarkan karakter tersendiri.














