fbpx
SUV off-road berpacuan empat roda itu dilengkapi teknologi canggih yang membantu mengeluarkannya daripada tersekat dalam lumpur.

Tank 300 ‘gah’ redah lumpur, rintangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LASAK dan versatil sesuai digambarkan pada kenderaan utiliti sukan (SUV) berpacuan empat roda Great Wall Motor (GWM) Tank 300 yang baru dilancarkan untuk pasaran tempatan.

GWM Malaysia telah membawa masuk model SUV off-road berkenaan bagi memberikan pengalaman pemanduan mewah untuk sebuah kenderaan lasak.

Dari segi rekaan, SUV ini nampak klasik dengan bentuk berpetak selain bumper dan fender tebal menonjolkan sisi gah Tank 300 untuk kembara hutan dan jalan rintangan.

Rekaan depan pula menampilkan bentuk lampu retro yang bulat dan lampu signal yang melintang dipasang terus pada lampu depan.

SUV off-road mewah dan pintar itu diperkemas dengan perincian rim aloi bersaiz 18 inci serta tayar gantian yang digantung pada bahagian tailgate (bonet belakang).

Lebih menarik, Tank 300 dilengkapi dengan teknologi canggih antaranya mempunyai bukan satu tetapi dua unit ‘differential lock’ pada gandar belakang dan hadapan bagi mengeluarkan kenderaan sekiranya tersekat dalam lumpur.

Kebiasaannya pacuan empat roda hanya dilengkapkan dengan satu unit differential lock pada bahagian gandar belakang.

Penulis turut berpeluang menyertai sesi pandu uji cabaran lasak pacuan empat roda GWM Tank 300 di litar Pusat Latihan dan Pengalaman 4WD Malaysia (M4TREC) di Semenyih, Selangor bagi melihat prestasi jentera off-road itu.

Berbumper dan fender tebal, lampu depannya pula bulat gaya retro.

Tank 300 terbukti mampu mengharungi pendakian bukit berlumpur dengan hanya menggunakan tayar highway terrain dan sistem differential lock depan dan belakang yang diaktifkan.

Walaupun dibina atas kerangka badan ladder frame, pemanduan Tank 300 tidak terasa seperti sebuah pacuan empat roda lasak, sebaliknya keselesaan pemanduan sama seperti sebuah kereta mewah.

Tank 300 juga mempunyai kadar kesenyapan kabin (NVH) yang baik, di mana bunyi bising dari luar kenderaan sangat minimal termasuk bunyi deruman enjin.

Kenderaan lasak dan premium ini boleh mendaki permukaan jalan tidak rata pada sudut 33 darjah pada arah depan dan 34 darjah pada arah belakang.

Ia juga direka dengan jarak permukaan jalan 224 milimeter (mm) serta boleh meredah air sehingga 700mm tanpa masalah.

Bagi sebuah pacuan empat roda, kebolehan mengharungi laluan air merupakan satu cabaran.

Selain itu, GWM Tank 300 mempunyai kelebihan teknologi dari GWM iaitu fungsi pusingan ‘Tank Turn’ yang dapat membantu jentera ini membuat pusingan U ketat di ruang laluan sempit.

Jentera lasak ini juga menyediakan fungsi Crawl Control yang boleh mengawal penyampaian kuasa serta brek apabila bergerak perlahan di atas jalan off-road atau laluan rintangan.

Untuk memudahkan pemanduan, SUV off-road ini dilengkapkan dengan kamera 360 darjah selain mempunyai fungsi kamera tembus lihat termasuk di bahagian bawah bagi memberi keyakinan kepada pemandu.

Kemudahan ini adalah untuk membantu pemandu mengharungi laluan sempit terutama laluan titi kayu.

Ruangan dalamannya yang tampak mewah dengan corong penghawa dingin berbentuk turbin.

Bukan itu sahaja, terdapat sembilan mod pemanduan yang boleh dipilih iaitu Standard (2H), Standard (4H), Mod Salji (4H), Mod 4L (Normal, Lumpur/Pasir, Lubang, Gunung, Batu) dan Mod Pakar (Expert).

Dari segi kuasa, Tank 300 ini dipacu dengan enjin petrol empat silinder berkapasiti 2.0 liter turbo dengan transmisi automatik lapan kelajuan menghasilkan kuasa maksimum 220PS pada 5,500rpm dan tork 380Nm.

Meninjau ke ruangan kabin, rekaannya seperti mendapat inspirasi daripada Mercedes Benz G-Class dengan corong penghawa dingin berbentuk turbin.

Ia dilengkapi dual skrin bersaiz 12.3 inci dengan ketersambungan Android Auto atau Apple CarPlay tanpa wayar.

Rekaan berpetak yang menonjolkan keunikan tersendiri.

Tempat duduk pula dibalut dengan material kulit Nappa warna hitam dan direka agar lebih ergonomik serta miliki fungsi pengudaraan dan mengurut.

Bagi tempat duduk penumpang belakang, ia didatangkan dengan dua tahap pelarasan dan boleh dilipat dengan nisbah 60:40 untuk memuatkan barangan yang besar.

Kesimpulannya, sesuai dengan imej GWM Tank 300 sebagai sebuah SUV off-road pintar dan mewah, pemandu amatur yang tidak biasa dengan laluan rintangan boleh memandu kenderaan ini seperti seorang profesional dengan binaan teknologi tersedia.

Rekaan klasik yang ditonjolkan dengan warna badan menarik Dusk Orange, Fossil Grey, Crystal Black dan Pearl White pasti menarik minat pelbagai kelompok pengguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN