MENGGEMARI makanan pedas terutamanya hidangan dari Indonesia membuatkan wanita ini memberanikan diri memperkenalkan menu olahan miliknya sendiri.
Berbekalkan pengalaman berniaga makanan selama lebih lima tahun secara dalam talian, Rahayu Omar tampil dengan kafe yang diberi nama Pretty Pot Cafe.
Terletak di Heritage Lane, Empire Damansara, Damansara Perdana, Selangor, kafe berkonsep ala-ala Inggeris itu mula dibuka sejak September tahun lalu.
“Setelah berniaga lebih lima tahun dalam online, saya fikir sudah sampai masa untuk pelanggan menikmati secara santai di kafe.
“Ini kerana, saya sendiri secara peribadi suka pergi ke kafe-kafe untuk buat kerja dan bersantai bersama kawan-kawan,” katanya kepada CitaRasa.
Berkongsi mengenai hidangan utama ataupun signatur ditawarkan, dia yang lebih mesra disapa Ayu memberitahu, menu ayam gepuk sambal berapi menjadi andalan di kafenya.
Jelasnya, ayam gepuk merupakan salah satu makanan kegemarannya dan sudah dinikmati sejak zaman kanak-kanak.
“Macam saya sendiri, apabila berkunjung ke Indonesia, saya akan cuba segala menu berkaitan ayam gepuk yang terkenal sebagai hidangan Nusantara.
“Saya memang peminat makanan pedas. Jadi, saya kenal apa bahan-bahan yang mereka (peniaga) gunakan, sebelum diolah dengan cara tersendiri.
“Hampir setahun beroperasi, tiga jenis menu ayam iaitu ayam gepuk original berapi, ayam gepuk original sambal berapi dan ayam gepuk crispy sambal berapi sentiasa menjadi dambaan para pelanggan.
“Bagi menu ini, ia dijual secara ala carte bermula dari RM9.90 hingga RM12.90. Kami juga tawarkan dalam pinggan bersaiz besar (extra large) dengan harga bermula RM15.90,” katanya.

Tidak setakat ayam gepuk sambal berapi, menu lain yang menjadi signatur di Pretty Pot Cafe adalah nasi goreng ayam gepuk original, nasi goreng ayam berapi dan nasi goreng ayam gepuk crispy.
Nasi lemak basmati ayam gepuk original dan nasi lemak basmati ayam gepuk crispy juga ditawarkan dengan harga RM15.
Sementara itu, bekas pramugari Malaysia Airlines dan pemegang gelaran ratu cantik, Mrs. National Universe Malaysia 2023 dan Mrs. National World 2023 itu memberitahu, aneka pencuci mulut turut menjadi taruhan di kafenya.
Jelas Ayu, dia menawarkan pelbagai jenis pencuci mulut, antaranya kek tiramisu yang sangat disukai dan cepat habis atau bestseller dalam kalangan pelanggan.
Selain itu, burnt cheese cake turut menjadi salah satu pencuci mulut yang digemari ramai dan paling ‘laku keras’ di kafe tersebut.
Ayu memberitahu, semua hidangan pencuci mulut yang ditawarkan di kafenya dibuat sendiri secara home made menggunakan bahan berkualiti tinggi dan premium.
Antara menu pencuci mulut lain termasuklah hazelnut cheese cake, biscoff cheese cake, fruity cheese cake, blueberry Danish, pavlova, strawberry tart, butter croissant, brownies dan banyak lagi yang dijual dengan harga bermula RM5.
Ditanya mengenai inspirasi dan cetusan idea membuka kafe tersebut, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu memiliki jawapan tersendiri.
“Seperti kita tahu, rakyat Malaysia suka hidangan yang ‘simple’ tetapi sedap.
“Maka terciptalah menu seperti ayam gepuk sambal berapi, dengan sambal dan bahan utamanya diolah sendiri.
“Dari situ, saya mula variasikan menu lain seperti nasi goreng ayam gepuk, nasi biryani dham kambing dan beberapa lagi menu yang akan diperkenalkan kelak,” katanya.
Mengulas mengenai kapasiti pelanggan, Ayu memberitahu, kafenya boleh memuatkan 20 orang pada satu-satu masa.














