fbpx
Gambar hiasan

Ejen kaut untung jual data lepasan SPM secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Terkejut tiba-tiba dapat panggilan mengenai tawaran belajar di institusi pendidikan yang tidak pernah dipohon langsung.

Sejak beberapa tahun lalu, le­pa­san Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau ibu bapa mereka se­ring dihujani pelbagai tawaran melanjutkan pelajaran selepas peperiksaan tingkatan lima itu.

Ibu bapa sendiri bingung ba­gai­mana data peribadi mereka bo­leh diketahui pihak luar yang sepatutnya rahsia. Maklumat peribadi lepasan SPM dijual pihak tertentu teruta­ma kolej swasta yang berusaha mendapatkan pelajar.

Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara Kampus Kota Bharu, Prof. Madya Dr. Syerina Azlin Md. Nasir berkata, biasanya ejen bebas itu memperoleh data pelajar melalui karnival pendidikan, program dan seminar berbentuk pendidikan yang disertai calon SPM atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Katanya, menerusi program itu, ada ejen tidak bertanggungjawab bertindak menjual nombor telefon, e-mel dan alamat pelajar kepada pihak-pihak tertentu.

“Karnival dan program ini dianjurkan secara sah. Bagaima­napun, ejen-ejen bebas yang tidak bertanggungjawab menggunakan peluang itu untuk ‘mencuri’ maklumat pelajar.

“Selain mencari maklumat pelajar, ejen-ejen itu turut bertindak sebagai pegawai pemasaran untuk IPTS dan kolej tertentu. Jadi, maklumat lepasan SPM dan STPM ini ibarat peluang berharga untuk mereka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dr. Syerina Azlin

Menurut Syerina Azlin, penjualan data itu dibuat tanpa pengetahuan pihak penganjur.

Jelasnya, ejen tidak bertanggungjawab itu dipercayai me­nerima komisen hasil penjualan data pelajar, namun tidak dapat dipastikan nilainya.

“Pada era moden ini, data peribadi seseorang amat berharga. Pelbagai perkara boleh dilakukan sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya.

“Selain itu, ibu bapa dan pelajar juga boleh terjerat de­ngan tawaran pengajian melalui laman-laman web palsu yang direka untuk ‘mencuri’ maklumat secara dalam talian.

“Ini merupakan modus ope­randi pihak tertentu untuk ‘memancing’ data pelajar. Maklumat peribadi juga boleh dikumpul melalui pendaftaran secara Google Form yang disediakan di laman web tersebut,” katanya.

Beliau berkata, platform dalam talian yang mengan­dungi data pelajar turut berisiko digodam pihak tertentu menyebabkan berlakunya kebocoran maklumat sekiranya sistem keselamatan belum kukuh sepenuhnya.

“Selain itu, ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikan media sosial sebagai platform untuk ‘mencuri’ maklumat peri­badi pelajar.

“Justeru, semua pihak dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya mahu berkongsi dan membuat hantaran di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Keilmuan Nasional Pulau Pinang, Azdy Mohd. Arshad menyifatkan tindakan pihak tertentu memperoleh data pelajar dan ibu bapa tanpa kebenaran sebagai pencerobohan privasi serius.

“Tindakan IPTS menghubungi ibu bapa dan lepasan SPM secara langsung bagi mempromosikan pengajian bukan sahaja tidak ber­etika, malah jelas melanggar hak privasi individu.

“Tindakan sebegini sangat tidak bertanggungjawab. Ia melibatkan pencerobohan data peribadi dan satu bentuk jenayah siber yang sepatutnya sudah lama ditangani dengan tegas oleh kerajaan.

“Saya sendiri pernah dihubu­ngi oleh beberapa IPTS untuk mempromosi kursus yang ditawarkan di situ,” katanya.

Menurut beliau, isu penyalahgunaan data peribadi bukan perkara baharu dan berlarutan sejak sekian lama, namun belum ada tindakan berkesan diambil oleh pihak berwajib.

Beliau tidak menolak ada pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan melalui penjualan data peribadi, terma­suk maklumat pelajar sekolah dan ibu bapa.

“Ini bukan soal panggilan promosi semata-mata, tapi satu bentuk perniagaan data yang membimbangkan. Jika dibiarkan, kita khuatir bukan sahaja nombor te­lefon, malah maklumat peribadi lain akan turut diperdagangkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menambah baik dan memperkasa Akta Perlin­dungan Data Peribadi 2010 bagi mendakwa mereka yang terlibat dalam jenayah tersebut.

Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi perlu lebih proaktif dalam memantau, menyiasat dan mengambil tindakan ke atas aduan yang diterima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN