fbpx
Pemandu disaran membawa alat pemecah cermin tingkap kereta sebagai langkah waspada. - GAMBAR HIASAN

Ada ilmu, boleh kurangkan risiko kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENAP enam hari negara dikejutkan dengan tragedi meruntun jiwa apabila enam sekeluarga ditemui mati lemas berpelukan di tempat duduk belakang kereta Proton Iswara.

Insiden menyayat hati itu mendapat liputan meluas lebih-lebih selepas anak sulung pasangan Allahyarham Mohd. Azim Izat Ishak, 32, dan isteri Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, iaitu Putri Qisya Nur Izzat, 12, kini bersendirian tanpa keluarga.

Bagi penulis, bukan mudah ‘bergelar’ anak yatim piatu lebih-lebih lagi umurnya yang baru menginjak 12 tahun. Rentetan daripada peristiwa itu, ramai hadir dengan pelbagai hipotesis tidak kurang juga cadangan bernas kepada pihak tertentu.

Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, memandangkan laluan tersebut adalah di tepi sungai, cadangan memasang penghadang jalan sepenuhnya, mungkin melibatkan kos yang agak tinggi.

“PPKJR mencadangkan sebagai pelan jangka pendek supaya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi tumpuan untuk menaik taraf lokasi-lokasi berbahaya di sepanjang jalan yang mempunyai sungai.

“Pada masa sama, pihak terlibat perlu memperbanyakkan pemasangan tanda amaran dan pemutus kelajuan (speed breaker) bagi mengawal kelajuan setiap kenderaan,” katanya.

Menurutnya, kadar had laju sepanjang laluan tersebut perlu dikaji semula terutamanya yang berhampiran jambatan atau persimpangan.

Ditanya apakah kemungkinan menyebabkan berlakunya kemalangan menyayat hati tersebut, Jamil Manan mempercayai pemandu mungkin mengantuk semasa berlakunya insiden tersebut.

“Pada masa sama, Allahyarham ketika kejadian gagal mengawal kenderaan dan mungkin juga terdapat masalah teknikal ke atas kenderaan sebagai penyebab,” katanya.

Berkongsi tip awal yang boleh dilakukan pemandu ketika berdepan situasi sama terutama di sungai, tasik, paya mahupun kolam, Jamil Manan pertamanya mengingatkan pengguna jalan raya agar mengambil iktibar daripada kejadian seumpama.

Hal ini kerana katanya, insiden sedemikian yang menyaksikan kereta terbabas, terjunam dan tenggelam lalu akhirnya mangsa mati lemas bukan pertama kali berlaku dalam negara.

“Pemandu diingatkan supaya meningkatkan kemahiran mengawal kenderaan. Pada masa sama, pemandu hendaklah mengambil inisiatif untuk sentiasa membawa alat pemecah cermin tingkap kereta sebagai langkah waspada,” katanya.

Senada dengan Jamil Manan ialah Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua.

Menurutnya, mungkin sudah tiba masanya, modul silibus belajar memandu memuatkan aspek kaedah pembelajaran pengurusan risiko kecemasan dalam setiap situasi kepada pelajarnya.

“Contohnya dengan menganjurkan kursus-kursus mengenai pengendalian kejadian kecemasan serta menyelamat mangsa dalam sungai,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN