Sebahagian orang ramai melihat naskhah al-Quran tulisan tangan Nurly mengunjungi rumah keluarga pelajar itu di Kampung Gong Pasir, Besut semalam.

Nurly tular hingga ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Rumah keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman kembali dipenuhi dengan tetamu sejak dibuka semula untuk kunjungan pada Ahad lalu.

Bapa arwah, Azman Moha­med, 63, berkata, secara purata, seramai 500 orang mengunjungi rumahnya untuk mengucapkan takziah, menziarah kubur Nurly dan menatap naskhah al-Quran tulisan tangan anak bongsunya setiap hari sejak lima hari lalu.

“Alhamdulillah semuanya saya dan isteri santuni dengan tangan terbuka. Kami menerima tetamu bukan sahaja dari seluruh negara malah negara jiran, Thailand.

“Mereka berkata tergerak hati untuk menziarahi kami setelah mengetahui kisah Nurly dan rakan-rakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan pada bulan lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Gong Pasir di sini semalam.

Azman berkata, dia dan isteri, Kamariah Abd. Latif, 60, ber­syukur keadaan kembali tenang tanpa sebarang perbuatan berunsur khurafat berulang.

Begitupun, dia berkata, mereka berhasrat untuk kembali tidak menerima tetamu selama sebulan pada bulan hadapan.

“Ia bagi memberi laluan kepada kami untuk membuat persiapan mengerjakan ibadah umrah.

“Saya dan isteri serta salah seorang anak perempuan saya dijadual berangkat ke Tanah Suci pada pertengahan bulan Ogos depan,” katanya.

Azman berkata, begitupun kubur Nurly masih boleh dizia­rahi sepanjang tempoh ketiadaan mereka.

Katanya, waktu dicadangkan untuk menziarahi kubur Nurly antara pukul 7 pagi hingga 7 malam.

“Insya-Allah kami terima semula tetamu untuk mengunjungi rumah mulai awal September depan,” katanya.

Pada 30 Jun lalu, Kosmo! melaporkan keluarga Nurly memutuskan untuk tidak menerima tetamu selama empat hari sehingga semalam berikutan dakwaan berlakunya perbuatan khurafat mengambil tanah kubur gadis tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN