fbpx
Walaupun pickleball dianggap baharu di negara ini, namun hakikatnya sukan tersebut sudah wujud sejak tahun 1965

Pickleball semakin popular di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kebelakangan ini, semakin ramai orang di sekeliling yang mengajak penulis untuk mencuba sukan baharu iaitu pickleball.

Saban hari, ada saja orang yang meminta penulis untuk bermain bersama mereka, dari isteri, sepupu sehinggalah rakan-rakan di pejabat.

Malah, ada juga yang sanggup mengajak penulis bermain pickleball secara percuma, sehinggakan peralatan pun mereka belikan.

Hal ini kerana mereka cuba ‘meracun’ penulis untuk meninggalkan rutin sukan badminton dan beralih kepada pickleball yang dilihat lebih ‘trendy’ serta menyeronokkan.

Apa itu pickleball, bagaimana cara sukan ini dimainkan? Persoalan tersebut sering menerpa dalam diri penulis setiap kali diajak bermain.

Untuk makluman, pickleball merupakan satu sukan raket yang menyerupai tenis dan pingpong, namun dimainkan dalam gelanggang bersaiz ‘court’ badminton.

Secara asasnya, setiap pemain perlu memukul bola plastik dengan raket khas (paddle) melepasi jaring setinggi 0.86 meter dan masuk ke gelanggang lawan.

Sukan itu boleh dimainkan oleh dua atau empat orang dengan peraturan-peraturan tertentu.

Walaupun pickleball dianggap baharu di negara ini, namun hakikatnya sukan tersebut sudah wujud sejak tahun 1965.

Menurut sejarah, sukan itu pada mulanya dimainkan di belakang rumah oleh kanak-kanak di Pulau Bainbridge, Washington, Amerika Syarikat (AS).

Selepas pengenalan sukan itu, pickleball menjadi semakin popular dari semasa ke semasa sehingga dinamakan sebagai permainan paling pesat berkembang di AS dari tahun 2021 hingga 2024.

Menurut data terkini, dianggarkan terdapat 19.8 juta orang di AS aktif bermain pickleball pada tahun lalu. Hakikatnya ketika ini, sukan tersebut turut menular ke seluruh dunia, dan tidak terkecuali Malaysia.

Buktinya semakin banyak gelanggang pickleball dibuka di tempat-tempat awam termasuk di kawasan taman perumahan.

Menjengah ke media sosial, penulis dapati bahawa semakin ramai artis dan pempengaruh di negara ini mula berjinak-jinak dengan sukan tersebut.

Situasi ini membuatkan penulis tertanya-tanya mengenai faktor yang menjadikan pickleball begitu ‘hype’ dan ‘trendy’ pada masa kini.

Hasil carian penulis mendapati, populariti pickleball disebabkan sukan itu berintensiti rendah dan sesuai dimainkan oleh semua golongan termasuk kanak-kanak serta warga emas.

Selain itu, pickleball tidak memerlukan kemahiran yang tinggi untuk bermain. Ia berbeza dengan tenis yang memerlukan teknik khas untuk servis dan mengembalikan bola.

Satu lagi faktor yang tidak boleh diabaikan, pickleball dilihat sebagai sukan kelas atasan, setaraf golf dan tenis. Hal ini kerana sukan tersebut dipelopor oleh individu popular dan berpengaruh.

Pada pandangan penulis, pickleball bakal menjadi sukan masa depan. Tidak mustahil, pickleball dipertandingkan di Sukan Olimpik pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN