SEBERANG PERAI – Seorang ibu tunggal nekad mencari keadilan atas kematian suaminya, Muha-mad Farid Esmith Dzulkefli, 35, yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Butterworth Kulim Expressway (BKE) berdekatan jejantas Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini baru-baru ini.
Nur Amyra Kamal, 33, berkata, meskipun reda dengan pemergian suaminya, dia tetap mahu mencari kebenaran atas kejadian yang menimpa bapa dua anak berusia tiga dan lima tahun itu.
Katanya, arwah suaminya yang bekerja sebagai jaga terbabit dalam nahas ketika menunggang motosikal jenis Honda Wave ke tempat kerja di Plaza Tol Lunas, kira-kira pukul 7.50 pagi.
“Saya dimaklumkan mengenai nahas itu pada pukul 8.15 pagi. Ada saksi beritahu dia nampak suami terjatuh seorang diri atas jalan. Suami sempat minta tolong dan mengucap kalimah syahadah sebelum meninggal dunia.
“Motosikal arwah tidak mengalami kerosakan serius, cuma kotak belakang pecah. Namun, selepas bedah siasat dijalankan, saya dimaklumkan keadaan dalaman arwah terutama hati cedera teruk, sedangkan luaran hanya calar kecil.
“Keadaan itu menunjukkan seolah-olah arwah terhempas seperti terlibat kemalangan langgar lari,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Nur Amyra berkata, selepas kematian suaminya, dia terpaksa menguatkan semangat membesarkan tiga anak memandangkan sebelum ini lelaki itu yang menanggung keluarga.
“Dari duit sewa rumah, bil elektrik, barang basah sampai upah mengasuh anak-anak diuruskan suami. Kami reda cuma mahu cari keadilan buat arwah. Sekurang-kurangnya kami tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Saya rayu kepada si pelaku supaya tampil. Jika ada pemilik kenderaan yang merakam kejadian itu mereka dialu-alukan untuk berkongsi video tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nur Amyra berkata, arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum kematiannya.
“Namun, malam sebelum kejadian, ketika arwah menyuapkan anak sulung makan dia cakap ‘daddy nak mati esok’. Itu yang membuatkan saya sedih setiap kali terkenangkan kata-kata itu,” katanya.
Orang ramai atau pemilik kenderaan yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Nur Amyra di talian 018-465 0264.














