fbpx
FAZLI RAZAK bersama pasukan Malaysia di EA Sport FC Mobile Festival Bangkok.

K2

Fazli Razak komited bangunkan FC Mobile Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik dominasi permainan seperti Mobile Legends dan PUBG di Malaysia, satu lagi judul perlahan-lahan mula mencuri perhatian dalam arena e-sukan mudah alih iaitu EA Sports FC Mobile.

Melihat potensi besar yang ditawarkan, GBX Esports tampil sebagai antara peneraju awal yang komited membentuk wajah baharu e-sukan FC Mobile di negara ini.

Sejak tahun 2023, fokus organisasi itu tertumpu sepenuhnya kepada pembangunan komuniti serta pencarian bakat tempatan dalam permainan yang ketika itu masih belum memiliki struktur pertandingan yang kukuh. Menurut pengasas merangkap pengarah GBX Esports, Muhammad Fazli Razak atau lebih dikenali sebagai Fazli Razak mereka melihat peluang besar untuk terlibat secara aktif dalam membina asas komuniti dan ekosistem pertandingan bagi FC Mobile.

“FC Mobile sebenarnya telah dilancarkan sejak 2016, namun hanya mula mendapat promosi aktif dan perhatian khusus di Malaysia sekitar 2023.

“Kami nampak ada kekosongan dalam struktur pertandingan tempatan, jadi kami ambil peluang ini untuk bangunkan komuniti, adakan kejohanan dan bantu pemain tempatan naik ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada K-Remaja.

GBX Esports yang ditubuhkan pada 2020 merupakan hasil kerjasama antara syarikat GamesBond dan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

ARENA e-sukan mudah alih iaitu EA Sports FC Mobile semakin mencuri perhatian peminat di Malaysia.

Pasukan ini mula mencuri perhatian sebagai antara yang terawal di Malaysia memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan FIFA yang kini dikenali sebagai EA Sports FC. Sejak itu, GBX aktif menyertai pelbagai kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk layak ke FIFAe Club World Cup selama dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023.

Barisan pemain muda dalam kejohanan FIFA konsol seperti AkmalJHD, Chamack, Eggsy dan LuqmanHzq telah mengharumkan nama negara dalam kancah e-sukan bola sepak global.

Namun, selepas hak penamaan FIFA tamat dan kejohanan FIFAe Club World Cup dibubarkan di platform asal, GBX Esports mengambil keputusan untuk menukar hala tuju. Kini, mereka memberi tumpuan sepenuhnya untuk meletakkan Malaysia dalam peta persaingan FC Mobile, sebuah judul yang semakin berkembang pesat di pasaran Asia.

Bersama sebuah kumpulan yang dikenali sebagai GengFCM, mereka kini bukan sekadar bersaing tetapi juga membina komuniti, bakat serta peranan luar gelanggang seperti pengulas (caster) dan pembuat kandungan FC Mobile. Menariknya, tidak seperti permainan konsol, GBX Esports tidak membentuk pasukan tetap bagi FC Mobile, sebaliknya berperanan sebagai pencungkil bakat dan penggerak komuniti.

Dengan lebih 580,000 pengikut di TikTok, GengFCM menjadi bukti nyata bahawa minat terhadap FC Mobile dalam kalangan komuniti tempatan semakin berkembang.

“Fokus utama GBX pada kali ini termasuk pengurusan dan pendedahan bakat, penghasilan kandungan kreatif yang relevan dengan FC Mobile, penstriman langsung serta dokumentasi kejohanan.

Selain itu, kami juga menjalin kolaborasi rasmi bersama EA Sports bagi mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam ekosistem ini,” katanya. Walaupun FC Mobile dan versi konsol berasal daripada pembangun yang sama, pengalaman bermain kedua-duanya sangat berbeza.

FAZLI RAZAK (kiri) bergambar bersama pempengaruh sukan dari Itali, Fabrizio Romano di Majlis Pelancaran EA SPORTS FC di Madrid.

Dari segi platform, FC Mobile dimainkan menerusi telefon pintar, manakala versi konsol dimainkan di PlayStation, Xbox atau computer (PC). Kelajuan permainan turut berbeza kerana FC Mobile lebih pantas, ringkas dan sesuai untuk telefon pintar.

Satu perlawanan dalam FC Mobile hanya mengambil masa sekitar lapan minit untuk keseluruhan permainan dengan empat minit bagi setiap separuh masa berbanding 20 hingga 30 minit bagi perlawanan kompetitif di konsol. Kawalan dalam FC Mobile lebih mudah dan mesra pengguna kerana pemain hanya menggunakan butang sentuh di skrin berbanding kombinasi butang kompleks serta kawalan dinamik di konsol.

Kedua-dua versi juga berbeza dari segi statistik pemain, pergerakan, gerakan kemahiran (skill moves) serta mekanik permainan keseluruhan. Jelas anak kelahiran Pahang itu, meskipun pemain konsol boleh bermain FC Mobile, mereka perlu membiasakan diri dengan persekitaran baharu seperti skrin yang lebih kecil dan kawalan sentuhan.

“Sebenarnya tidak ada masalah kalau pemain konsol mahu tukar menjadi pemain FC Mobile. Cuma mereka kena ambil masa untuk sesuaikan diri. Walaupun konsep bola sepak itu sama, cara mainnya tak sama sebab FC Mobile lebih laju dan gerakan tangan pun kena lebih pantas,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan judul e-sukan yang menampilkan format berpasukan, FC Mobile mengetengahkan struktur pertandingan secara individu.

Setiap pemain bertanding atas nama sendiri tanpa membawa nama pasukan. Di Malaysia, tiada atlet tetap untuk kategori ini.

Sebaliknya, pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian dalam kejohanan kelayakan yang dianjurkan sepanjang tahun. Kalendar antarabangsa FC Mobile biasanya merangkumi tiga pusingan kelayakan sebelum melangkah ke grand final tahunan.

Lokasi seperti Bangkok, Shanghai dan Australia menjadi antara medan penting dalam proses ini. Pemain yang berjaya dalam salah satu pusingan kelayakan akan layak terus ke pentas dunia, tahun ini dijadual berlangsung di Vietnam.

Malaysia bakal diwakili oleh Wan Amirul Izwan Wan Rakiman (MYT_Kyuriz), seorang pemain muda berusia 23 tahun dari Pahang yang berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga dalam sesi kelayakan di Bangkok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN