SEREMBAN – Kemalalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang melanggar palang had ketinggian di laluan Jalan Arab Malaysia berhampiran sempadan Nilai 3 – Bukit Mahkota di sini kelmarin mencetuskan rasa bimbang kepada penduduk sekitar yang mahu pihak berkuasa bertindak segera sebelum kejadian lebih buruk berlaku.
Menurut penduduk, pihak berwajib perlu memasang papan tanda amaran yang lebih jelas dan berkesan di laluan berkenaan yang sering digunakan sebagai laluan pintas oleh kenderaan berat untuk mengelak tol dan kesesakan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, tujuh individu termasuk pemandu bas cedera ringan.
Seorang peniaga, Lidiahayani Ariffin, 32, yang menyaksikan kemalangan tersebut berkata, kejadian boleh dielakkan jika papan tanda amaran dan pencahayaan di kawasan itu diselenggara dengan lebih baik.
“Memang pada waktu malam kawasan ini gelap dan kekurangan pencahayaan. Orang luar yang tidak biasa pasti tidak perasan kewujudan palang had ketinggian ini.
“Difahamkan, pemandu bas menggunakan aplikasi navigasi dan tidak mengetahui kewujudan palang. Kalau ada papan tanda yang lebih awal dan jelas, mungkin kemalangan ini boleh dielakkan,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, kejadian seperti itu bukanlah yang pertama berlaku, sebaliknya sudah beberapa kali melibatkan kenderaan berat tersangkut atau merempuh palang yang sama.
“Tiada sebarang papan tanda amaran atau isyarat lampu yang betul-betul ketara sebelum tiba ke kawasan palang. Ini sangat berbahaya terutama bagi pemandu dari luar kawasan,” katanya lagi.
Seorang pekerja kilang, Zulkifli Jabar, 50, pula berkata, laluan berkenaan menjadi tumpuan utama kenderaan berat kerana ia menghubungkan kawasan perindustrian berdekatan dengan lebuh raya utama.
Namun katanya, keadaan sekitar yang merupakan kawasan perumahan tidak sesuai untuk laluan bagi kenderaan bersaiz besar atau melebihi ketinggian tertentu.
“Antara cadangan yang boleh diambil termasuklah memasang papan tanda amaran yang besar dan jelas pada jarak mencukupi sebelum sampai ke palang.
“Selain itu, boleh juga letakkan lampu isyarat berkedip atau papan elektronik bagi menarik perhatian pemandu serta kemas kini maklumat laluan dan halangan di aplikasi navigasi seperti Waze dan Google Maps,” katanya.
Tambahnya, pemasangan bonggol sebelum lokasi palang turut wajar dipertimbangkan bagi pemandu memperlahankan kelajuan.
“Kita tidak boleh tunggu ada nyawa yang terkorban baru nak bertindak. Kalau langkah-langkah pencegahan ini boleh dibuat awal, kita mampu elakkan kemalangan berulang,” katanya.
Terdahulu, tujuh individu termasuk pemandu bas cedera ringan selepas bas ekspres yang mereka naiki melanggar palang had ketinggian dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan Arab Malaysian menghala ke Bukit Mahkota, Bangi, di sini.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 1 (PBKI) (KUP) Azmi Hamid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu sekitar jam 10.30 malam.
“Mereka yang cedera melibatkan empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 50-an,” katanya.
Katanya, bas berkenaan yang membawa seramai 19 penumpang itu difahamkan dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Melaka.
“Mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan di zon hijau Hospital Serdang,” katanya.














