GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di Pos Pasik di sini, terpaksa berebut hasil tanaman sendiri dengan haiwan liar seperti gajah yang kerap menceroboh kawasan pertanian mereka.
Seorang penduduk Orang Asli, Aznan Siam, 59, berkata, kehadiran haiwan liar itu menyebabkan mereka takut untuk memasuki kebun atau hutan secara berseorangan kerana bimbang keselamatan diri.
Katanya, setiap kali buah pisang berbuah, mereka tidak sempat merasai hasilnya kerana telah dimakan serta dirosakkan oleh gajah liar berkenaan.
“Gangguan gajah liar di Pos Pasik di sini sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu sehingga menjejaskan sumber makanan penduduk.
“Kemunculan gajah liar itu bukan sahaja mengurangkan sumber makanan kami, tetapi juga memberi ancaman keselamatan ketika melakukan aktiviti menyemai benih atau mengutip hasil di kawasan kebun,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Amah Angah, 46, pula berkata, kehadiran gajah itu menyebabkan mereka takut untuk ke kebun pada awal pagi dan lewat petang.
Katanya, sebelum ini ada penduduk terserempak dengan gajah ketika keluar menoreh getah dan berkebun pada awal pagi.
“Kebiasaannya pada waktu malam kami turut terdengar bunyi gajah berada berhampiran rumah dan kami hanya mendiamkan diri kerana takut.
“Di kawasan kebun juga terdapat banyak kesan tapak kaki atau najis gajah liar. Kami perlu keluar menoreh serta berkebun walaupun terpaksa bergadai nyawa kerana itu adalah sumber pendapatan kami,” katanya.
Penghulu Kampung Ayong, Pos Pasik, Saumell Chimbong berkata, pihaknya telah maklumkan isu itu kepada pihak berkuasa.













