fbpx
KEADAAN rumah penduduk yang rosak teruk susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights pada April lalu.

‘Boleh tuntut pampasan jika tahu siapa salah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penduduk yang terjejas akibat letupan paip gas di Putra Heights hanya boleh menuntut pampasan jika dapat dikenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Peguam, Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata, secara prinsipnya, tuntutan ganti rugi boleh dibuat di bawah undang-undang tort.

Namun, katanya, syarat utama adalah mengenal pasti punca dan pihak yang menyebabkan kegagalan integriti paip terbabit.

“Setakat ini, siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) memaklumkan letupan berpunca daripada pergerakan tanah di bawah paip.

“Maka persoalan yang timbul ialah, mengapa tanah tersebut bergerak? Adakah disebabkan kerja pembinaan, atau kegagalan memastikan kestabilan tanah di bawah paip?” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambah beliau, tuntutan hanya boleh dibawa ke mahkamah dengan berjaya sekiranya semua persoalan itu disiasat dan dijawab dengan jelas, sekali gus mengaitkan pihak tertentu dengan kecuaian atau kegagalan.

“Selagi tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan secara jelas, penduduk sukar untuk membuat tuntutan undang-undang yang berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, kes letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas polis tidak menemui sebarang unsur jenayah atau sabotaj dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun berkata, pihaknya sedia membuka semula siasatan sekiranya terdapat bukti atau kete­rangan baharu mengenai kejadian tersebut.

“Kita berpuas hati dan kita tutup kes ini buat masa ini, tetapi boleh dibuka pada bila-bila masa jika ada maklumat baharu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sehubungan itu, Hussein turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ber­kenaan untuk tampil dan me­nyalurkannya ke pihak polis.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN