JENAMA automotif kompak premium, MINI meraikan legasi John Cooper Works (JCW) menerusi pelancaran tiga model baharu pada awal Mei lalu.
Model tersebut ialah MINI JCW, MINI JCW Elektrik dan MINI Aceman JCW Elektrik, manakala MINI Cooper Convertible baharu melengkapkan barisan dengan model bumbung terbuka, seiring semangat ‘Always Open’.
Mengimbau semula sejarah, MINI JCW bermula hasil kerjasama antara seorang pembuat kereta lumba, John Cooper dan MINI pada tahun 1961.
MINI JCW dikenali dengan gaya sporty dan berprestasi tinggi menjadikannya pilihan popular dalam kalangan peminat MINI.
JCW adalah varian paling sporty dan agresif dalam keluarga MINI yang diinspirasikan daripada sejarah perlumbaan MINI.
Baru-baru ini, MINI Malaysia telah mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju automotif premium kompak dengan menganjurkan MINI Track Day 2025 di Gamuda Cove di Dengkil, Selangor.
Acara itu dirancang bagi menyuntik semangat keterujaan kepada peminat tegar MINI untuk mencuba pengalaman pemanduan di litar yang disediakan dengan berinspirasikan warisan perlumbaan yang bermula di pentas rali Monte Carlo pada era 1960-an.

Penulis turut berpeluang memandu uji barisan terkini model MINI JCW versi petrol dan elektrik yang dilihat masih mengekalkan adrenalin pengendalian go-kart yang sinonim dengan jenama ikonik MINI.
Memandu model JCW mengingatkan penulis kepada ciri yang menjadikan pengalaman pemanduan MINI begitu unik iaitu tahap responsifnya, ketepatan dalam setiap selekoh serta keserasian antara pemandu dan kereta.
MINI JCW Track Day 2025 membawakan dua laluan pemanduan berbeza iaitu pertama zon pemanduan JCW sepanjang 3.4 kilometer yang direka untuk menguji had keupayaan kenderaan dari aspek pecutan dan pengendalian.
Sementara itu, kedua zon litar MINI JCW diinspirasikan daripada litar legenda Kartdromo Parma di Itali, mencabar peserta dengan selekoh teknikal yang menuntut ketepatan, kawalan serta kecekapan membrek maksimum.
Walaupun rupa ikonik MINI ‘comel’, tetapi ia mengganas di litar perlumbaan dengan prestasi mengagumkan seakan-akan memandu dalam permainan elektronik ‘game’.
Tidak hairan peminat tegar MINI atau digelar ‘Miniacs’ setia dengan jenama automotif legenda ini kerana memandu jentera ini seakan ada ‘jiwa’ tersendiri.
Pengendalian MINI JCW amat mudah ketika melalui selekoh tajam dan brek sangat responsif.

Reka bentuk MINI JCW tampil lebih berani dan ‘smart’ dengan gril hitam berkilat dan aksen (perhiasan) warna Chili Red diperkemaskan dengan rim JCW Lap spoke bersaiz 18 inci serta spoiler belakang dan ekzos tengah bagi versi petrol.
Bahagian dalamannya pula nampak ranggi dengan warna hitam merah bagi tempat duduk dan stereng sport JCW serra skrin instrumen 9.4 inci.
Dari segi kuasa, MINI JCW versi petrol dijana oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 231hp dan tork 380Nm dengan kemampuan memecut dari pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.1 saat.
MINI JCW Elektrik dan Aceman JCW Elektrik pula dikuasakan oleh pek bateri 54.2 kWj dengan jarak gerak masing-masing 371km dan 355km lengkap dengan pengecasan pantas DC hanya 30 minit untuk pengecasan 10 ke 80 peratus.
Kedua-duanya menggunakan motor elektrik tunggal menghasilkan kuasa 258hp dan tork 350Nm dengan pecutan pegun ke 100 km/j 5.9 saat untuk JCW Elektrik dan 6.4 saat untuk Aceman JCW Elektrik.
MINI Cooper Convertible 2025 pula tampil dengan gaya minimalis dan moden bersama bumbung lembut automatik yang boleh dibuka sepenuhnya dalam masa 18 saat mengekalkan identiti ‘fun to drive’.
Kesemua barisan baharu MINI JCW dilengkapi dengan sistem audio Harman Kardon.
Harga bagi barisan baharu MINI JCW (petrol) RM318,888, JCW Elektrik RM218,888, Aceman JCW Elektrik RM233,888 dan MINI Cooper Convertible RM318,888.
Kesimpulannya, penulis melihat MINI mempunyai peminat tersendiri terutama bagi mereka yang sukakan gaya ranggi.
Ia bukan sekadar kereta ikonik, tetapi mempunyai sejarah perlumbaan dengan pemanduan ala go-kart yang masih sinonim dengan MINI.
Penulis pun teringin memiliki MINI JCW selepas memandu uji kereta ini. Bukan sekadar ‘comel’ tapi memang berbaloi dimiliki terutama bagi pemanduan dalam bandar dengan saiznya yang kompak dan prestasi mengagumkan.














