SELEPAS berakhirnya musim 2024/25, kelab-kelab bola sepak di Eropah ketika ini mula bersaing di pentas berbeza. Jika sebelum ini kelab-kelab ‘bergasak’ di atas padang, namun kini mereka bersaing di dalam pasaran perpindahan pemain pula.
Sebaik saja pasaran perpindahan dibuka secara rasmi pada 1 Jun lalu, beberapa kelab besar di Eropah mula mengorak langkah memburu pemain bagi menguatkan pasukan menjelang musim baharu.
Salah satu pembelian mega adalah membabitkan pasukan Liverpool yang berjaya mendapat pemain berbakat besar dari Bayer Leverkusen iaitu Florian Wirtz.
Pemain tengah menyerang ini datang ke Anfield dengan tag harga dianggarkan sekitar £114 juta (RM654 juta), sekali gus bakal menjadi pemain termahal dibeli oleh kelab British.
Pemain kelahiran Jerman itu juga dijangka memecah rekod pembelian Liverpool yang sebelum ini dipegang oleh kapten kelab, Virgil van Dijk ketika berpindah dari Southampton pada 2018 dengan kos £75 juta (RM430.9 juta).
Selepas tersebarnya berita perpindahan Wirtz ke Liverpool, ramai penganalisis bola sepak di seluruh dunia menjadikan pemain ini sebagai subjek utama perbincangan.
Rata-rata mereka membincangkan sama ada pembelian dibuat oleh Liverpool itu berbaloi untuk pemain berusia 22 tahun yang dianggap masih mentah dalam saingan bola sepak di Eropah?
Ada juga penganalisis beranggapan bahawa Wirtz akan senasib dengan penyerang Liverpool, Darwin Nunez yang gagal memenuhi potensi diharapkan selepas tiga musim berada di Merseyside.
Hakikatnya, ramai tidak sedar bahawa Liverpool tidak pernah membuat pelaburan besar untuk pemain dianggap ‘biasa’ kecuali pemain itu betul-betul dimahukan dan mampu memacu kelab mencapai kejayaan.
Contoh paling tepat adalah Van Dijk yang dibeli dengan harga rekod perpindahan pertahanan termahal di British pada 2018. Ketika itu, ramai menganggap pembeliannya tidak berbaloi. Kini, selepas hampir lapan tahun di Anfield, pemain Belanda itu berjaya membantu Liverpool meraih dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu Liga Juara-juara Eropah.
Justeru itu, kedatangan Wirtz pastinya membawa harapan yang sama. Dia bakal menjadi pemain bintang di Liverpool selepas berakhirnya era Mohamed Salah kelak.
Malah, ada pihak yang mula melabel Wirtz sebagai ‘poster boy’ baharu Liverpool untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun ke depan.
Apa kekuatan dan kelebihan Wirtz? Pemain di posisi nombor 10 ini mampu membekal hantaran terbaik untuk disudahkan oleh penyerang, selain mempunyai kemahiran tinggi untuk bergerak di ruang sempit.
Jadi tidak hairanlah, bekas penyerang Liverpool dan Jerman, Karl-Heinz Riedle mendakwa Wirtz sebagai pemain terbaik Bundesliga dalam tempoh dua tahun terakhir. Bahkan bekas jurulatihnya,
Xabi Alonso menyamakan kehebatan Wirtz dengan legenda Argentina, Lionel Messi. Sebagai peminat Liverpool, penulis berharap Wirtz mampu memenuhi harapan besar para peminat dan beraksi dengan baik di pentas EPL.














