Spinnerbait atau dalam kalangan pemancing lebih popular dipanggil ‘janggut’ merupakan sejenis gewang yang sangat efektif untuk memancing spesies ikan ‘bak kepala ular’ seperti haruan, toman, kerandang dan bujuk.
Gewang ini mendapat julukan janggut kerana adanya juraian getah (rubber skirt) yang merupakan salah satu profil terpentingnya.
Antara banyak-banyak jenis gewang yang wujud, gewang janggut inilah yang paling pelik kerana ia tidak merupai apa-apa pun makanan ikan pemangsa seperti ikan-ikan kecil, udang mahupun serangga.
Daya penarik pada gewang janggut ini hanyalah bilah besi yang berputar dan juraian getahnya. Namun, ikan tetap menyukainya.
Kelebihan gewang janggut ini, ia boleh dimainkan pada pelbagai kedalaman dari dasar sehinggalah ke permukaan air.
Ia boleh ditarik secara perlahan ataupun laju, asalkan bilah besinya sentiasa berputar semasa karauan dilakukan.

Profil gewang ini juga kalis sangkut (weedless) berikutan mata kailnya yang sentiasa terarah ke atas dan berselindung di sebalik juraian getah tersebut.
Dengan profil gewang ini yang sangat asas dan barangan buatannya boleh didapati di pasaran terutamanya secara online, maka ia mudah dibuat sendiri.
DIY
Saudara Mohd. Nasro Walilah daripada Wali Handmade berbesar hati menunjukkan cara membuat gewang janggut ini.
Bahan pertama yang perlu anda sediakan adalah seutas dawai besi berkekuatan 200 paun (lb) jenis keras dan tidak berkarat. Bahan kedua pula adalah juraian getah (silicon skirt) pelbagai warna.
Seterusnya, bahan ketiga berupa bilah besi iaitu sesudu (spoon) saiz medium (M).
Bahan keempat, batu ladung bentuk bulat saiz empat. Bahan kelima, mata kail berkembar (double hook) dan bahan-bahan aksesori lainnya seperti swivel dan split ring.
Alat untuk kerja pula adalah seperti playar dan paku saiz tiga inci.
Setelah siap dibuat, Wali akan melakukan ujian lapangan terlebih dahulu untuk melihat gaya renangan janggut itu sama ada menjadi atau tidak sebelum diberikan kepada pemiliknya. Selamat mencuba.














