MEMANG diakui berada di bumi berkat kita diuji dengan pelbagai macam dugaan. Kadang-kadang terdetik di dalam hati mahu makan rendang, tiba-tiba kantin petugas Tabung Haji (TH) betul-betul hidang rendang ayam.
Itu antara pengalaman dilalui sendiri oleh penulis ketika di sana. Ada kawan-kawan juga menceritakan pengalaman serupa. Betapa menimbulkan keinsafan dalam diri.
Adalah merugikan sekiranya pulang selepas membuat haji, namun kita masih di takuk lama. Kita terlupa semasa di Tanah Suci kita cukup ‘menghina’ diri, namun ketika di tanah air terbit perasaan sombong. Sia-sia haji kita. Semoga dijauhkan daripada diri penulis dan kita semua.
Antara perkara paling penting untuk dijaga adalah lidah kita. Sebenarnya perkara ini kalau tidak menunaikan haji pun memang wajib dijaga. Ada yang tidak berubah, tetap mahu
berbantah-bantah.
Makin terasa hanya diri sendiri benar. Pendapat orang lain salah, diri sendiri jugalah terpaling benar. Semoga dijauhkan daripada diri penulis dan kita semua.
Contohnya soalan dan perbualan yang kerap diterima sebaik pulang ke tanah air, ‘Kau dapat cium Hajar Aswad tak?’ ‘Rugilah tak dapat cium.’
Dia sambung lagi ‘Aku dulu dapat cium, kau rugi sangat-sangat bukan senang nak sampai ke Tanah Suci.’ Situasi ini orang gelarkan ‘riak yang humble’. Semoga dijauhkan daripada diri penulis dan kita semua.
Ini contoh tidak berkait dengan sesiapa. Percayalah semua orang mahu berbuat perkara sama. Andai mendapat peluang. Kadang-kadang sudah mencuba tetapi tidak berjaya. Kita batalkan hasrat demi menjaga adab di depan Baitullah yang suci.
Cuma selepas mengerjakan haji salah satu tanda mabrur itu adalah thayyibul kalam, iaitu perkataannya baik, dia menjaga lidahnya, tidak mengeluarkan perkataan yang tidak baik sama ada memaki, menghamun atau mengata orang.
Demikian ujar Pengarah Operasi Bimbingan TH, Shahrin Awaludin ketika ditemui penulis minggu lalu berkenaan salah satu daripada tiga ciri seorang jemaah itu mendapat haji mabrur.
Jelas Shahrin lagi, kemabruran bukan hanya bergantung kepada sempurnanya rukun dan wajib haji, namun ia turut bergantung kepada akhlak dan adab jemaah selepas menunaikan ibadah itu.
Harapan dengan kepulangan ini kita lebih nekad untuk menjadi individu yang istiqamah berbuat baik serta memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.















