fbpx
IMAN menawarkan perkhidmatan menjaga kucing kepada pemilik haiwan itu di sekitar Lembah Klang.

K2

Hobi jaga kucing bantu Iman cari duit lebih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT terhadap haiwan peliharaan seperti kucing, kura-kura, ikan dan hamster sejak di bangku sekolah rendah telah mendorong Muhamad Khairul Iman Mohd. Khairulanis, 24, menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan.

Anak muda kelahiran Rawang, Selangor itu memilih menawarkan servis cat sitter atau penjaga kucing kepada pemilik si bulus di sekitar Lembah Klang sejak beberapa tahun lalu.

Dia yang mesra disapa sebagai Iman menubuhkan Iman Cat Sitter untuk mencari pendapatan sampingan ketika masih bergelar pelajar universiti.

“Saya banyak melakukan kerja-kerja sampingan sejak zaman universiti. Biarpun semuanya membuahkan hasil, namun tiada yang membuatkan saya benar-benar puas.

“Sehinggalah saya membuat kajian tentang servis penjagaan kucing. Hasil kajian mendapati perkhidmatan itu mempunyai permintaan tinggi.

“Bertitik tolak dari situ, saya memanfaatkan platform media sosial saya yang bertemakan kucing untuk mempromosikan servis ini,” katanya.

Antara rutin harian Iman termasuklah membersihkan tempat kucing, memberi makan dan minum serta bermain dengan haiwan comel itu.

Iman juga sentiasa memastikan emosi kucing-kucing terjaga.

Hal ini kerana kucing juga boleh menjadi stres apabila ditinggalkan oleh pemiliknya untuk tempoh yang lama.

Berkongsi tentang cabaran menjaga kucing, dia memaklumkan, setiap si bulus memerlukan penjagaan yang berbeza.

“Kucing domestik biasanya lebih mudah dijaga, manakala kucing seperti British Short Hair, Persian, Munchkin, Bengal dan Ragdoll memerlukan pengetahuan yang khusus dalam penjagaannya. Jika penjagaan tidak sesuai, kucing boleh mengalami stres.

“Pengetahuan ini sangat berharga kerana saya dapat belajar dan mempraktikkannya secara langsung.

“Bagi aspek keusahawanan, saya banyak belajar cara berurusan dengan pelanggan (pemilik kucing) serta teknik mempromosikan servis melalui pemasaran digital,” katanya.

Dia juga berharap supaya servis yang ditawarkan itu mampu menjadi sumber pendapatan tetapnya, selain berfungsi sebagai terapi melepaskan tekanan.

Mengakhiri bicara, Iman mengakui bahawa hobi itu telah mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih penyabar.

“Secara peribadi, hobi ini banyak membantu saya membentuk sifat sabar dan penyayang.

“Saya akui, sepanjang saya melakukan servis ini, tak semuanya indah seperti yang saya muat naik di media sosial.

“Namun disebabkan minat dan sayang terhadap kucing, saya belajar untuk bersabar serta menguruskan masalah tersebut dengan tenang. Ini kerana, marah bukan jalan penyelesaiannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN