LIPIS – “Jika sampai ajal, biarlah saya pergi bersama Dayah, tetapi jika saya pergi dahulu, saya harap adik-beradiknya akan menyayangi Dayah seperti mana saya menyayanginya.”
Itu luahan penuh kasih Mohd. Bi Mohd. Samsuri, 58, yang menyifatkan anak ketiganya, Innayatul Farahiyah, 27, sebagai anugerah istimewa daripada Allah dan kunci ke syurga buat dirinya dan keluarga.
Menurut pesara guru itu, Dayah yang dilahirkan di Hospital Lipis pada 1997 merupakan anak istimewa yang mengalami masalah pembelajaran serta hiperaktif.
“Ketika dilahirkan, proses melahirkan Dayah agak tidak lancar apabila oksigen tidak sampai ke otak, menyebabkan tumbesaran fizikal dan mentalnya terbantut sejak kecil.
“Walaupun Dayah cukup sifat, tetapi tubuhnya lembik. Umur dua tahun baru dia boleh berjalan perlahan-lahan, malah masa usia 12 tahun pun masih perlu didukung,” kata Mohd. Bi yang pernah berkhidmat sebagai guru murid istimewa di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim sejak 1993.
Beliau berkata, Dayah merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan bersifat sangat aktif sewaktu kecil.
Katanya, keadaan itu tidak menghalang mereka sekeluarga untuk terus memberi perhatian dan kasih sayang sepenuhnya terhadap Dayah walaupun banyak pengorbanan diperlukan.
“Masa kecil dia sangat hiperaktif, jadi kami jarang keluar rumah melainkan ada urusan penting. Bagaimanapun, saya tidak pernah malu membawa Dayah ke tempat awam seperti pasar raya atau pekan sehari. Saya mahu dia belajar bersosial dan kenal orang ramai seperti orang lain.
“Walaupun kini sudah berusia 27 tahun, Dayah masih bersifat seperti kanak-kanak dan memerlukan bantuan penuh daripada ahli keluarga untuk menguruskan dirinya. Malah, dia hanya boleh menyebut beberapa perkataan penting seperti ‘makan’, ‘minum’ dan ‘jalan’,” katanya.
Mohd. Bi yang kini turut diuji dengan masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar pada 2022 berkata, apa yang membuatkan kisah Dayah menjadi lebih mencabar apabila anaknya itu turut mengalami masalah jantung berlubang sejak kecil.















