JERANTUT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 10 bulan menyambut Hari Raya Aidiladha di hospital selepas mata kanannya tercucuk sebatang pensel di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini kelmarin.
Ibunya, Wan Siti Fatimah Wan Abdullah Hashim, 26, berkata, kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu berlaku ketika dia sedang memasak makanan tengah hari di dapur, manakala anaknya, Ahmad
Faqeeh Rizky Ahmad Rizzuaza ditemani seorang sepupunya di ruang tamu.
“Sebelum ke dapur, saya memberikan sebatang pensel dan sebuah buku mewarna kepada anak saya sambil ditemani sepupunya.
“Kira-kira 10 minit kemudian, saya mendengar anak saya menangis dengan kuat. Saya terus ke ruang tamu dan mendapati Ahmad Faqeeh Rizky menekup mata kanannya dalam kesakitan,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, dia melihat mata kanan anak keduanya itu mengalami kecederaan dengan kesan kemerahan dan bengkak dan mengesyaki berkemungkinan tercucuk pensel.
“Saya kemudian membawa anak saya ke Klinik Kesihatan Kampung Bantal untuk pemeriksaan dan pegawai perubatan mengesahkan dia mengalami kecederaan di bahagian mata kanan dan perlu mendapat rawatan segera di Hospital Jerantut.
“Petugas kesihatan segera menghantar anak saya ke Hospital Jerantut yang terletak kira-kira 130 kilometer dari kampung.
“Kami tiba di hospital kira-kira pukul 7 malam,” katanya.
Wan Siti Fatimah berkata, hasil pemeriksaan di Hospital Jerantut, doktor memberitahu anaknya mengalami kerosakan pada bahagian selaput mata kanan dan perlu menjalani rawatan lanjut di
Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Saya menemani Ahmad Faqeeh ke Hoshas, Temerloh pada pukul 10.30 malam.
“Hari ini (semalam) dia telah menjalani pembedahan untuk mengembalikan semula penglihatannya serta menyembuhkan kesan luka dan bengkak.
“Kami perlu berada di wad ini untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya.















