Kejadian seorang wanita yang juga pemilik spa cedera parah selepas disimbah asid di Bachok baru-baru ini.

Asid: Pelaku mahu mangsa merana, bukan niat bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BELUM reda keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) melibatkan pemain bola sepak Selangor, Faisal Halim pada 8 Mei lalu, negara dikejutkan pula dengan kejadian simbahan asid ke atas pemilik spa di Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Insiden yang berlaku pada 17 Mei lalu itu menyebabkan Nor Faziera Muda, 27, parah di lengan kanan dan belakang badan.

Mangsa yang sudah berkahwin diserang oleh tiga individu yang menyamar sebagai pelanggan termasuk berpurdah. Polis percaya kejadian itu bermotifkan dendam atau cemburu.

Ekoran kejadian itu, mangsa perlu menjalani sebanyak empat pembedahan dan seramai dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan sebelum kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kebanyakan jenayah menggunakan asid getah atau asid sulfurik bertujuan membuatkan mangsa merana sampai akhir hayat, bukannya berniat untuk membunuh.

Katanya, kadar kelecuran dan kerentungan daripada asid tersebut mampu menyeksa fizikal mangsa sehingga ia boleh membawa maut sekiranya tidak dibedah dengan segera.

“Saya pernah bertemu dengan mangsa kes simbah asid kira-kira 10 tahun lalu. Kesan asid yang terkena pada muka mangsa sangat kuat sehingga menyebabkan bahagian tersebut mencair dan herot sampai bila-bila.

“Kebanyakan kes simbah asid berpunca daripada dendam.

“Penjenayah yang terlibat pasti akan mengupah individu lain dengan caj yang tinggi mahal untuk melakukan jenayah tersebut kerana mereka tidak mahu sama sekali ditangkap atau disyaki sebagai suspek,” katanya kepada Kosmo!.

Shahul Hamid berkata, siasatan berhubung kes simbahan asid adalah sukar kerana rantaiannya agak panjang terutama untuk mengesan suspek melainkan mangsa mengetahui motif dan individu yang bermusuh dengannya.

Jelas beliau, tindakan menyimbah asid dianggap sangat kejam apabila mangsa yang terlibat tidak meninggal dunia serta-merta, sebaliknya ia akan menyeksa fizikal dan mental sehingga mangsa berputus asa untuk hidup.

“Saya juga hairan bahan berbahaya seperti asid ini boleh dijual dengan begitu mudah. Pihak berkuasa sepatutnya mengetatkan kawalan dan pemantauan dengan mengambil maklumat terperinci pembeli bahan tersebut.

“Jika tidak, masyarakat akan menggunakan modus operandi sama iaitu menyimbah asid apabila berdendam dengan individu lain,” ujarnya.

Beliau berkata, justeru, orang ramai terutamanya ahli perniagaan, personaliti dan figura awam perlu sentiasa berwaspada kerana golongan tersebut terdedah untuk menjadi mangsa kes simbahan asid.

Tambahnya, dengan mengambil contoh kes Faisal Halim, pemain bola sepak itu disimbah asid bukan di lokasi sunyi, sebaliknya di pusat beli-belah yang dilengkapi dengan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN