KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri peguam sudah reda dengan kehilangan bayi tunggal mereka selepas dihantar ke sebuah taska di Setapak di sini pada Isnin lalu, namun rasa sedih itu masih ada.
Nur Farihah Meor Mazli, 29, berkata, dia dan suami mengakui masih bersedih dan kini dalam fasa untuk menerima hakikat pemergian anak tercinta, Muammar Aidil yang berusia tujuh bulan.
“Saya masih teringat memori bersama Muammar, cuma saya sentiasa ingatkan diri bahawa anak ini adalah pemberian Allah dan Dia juga berhak ambil semula.
“Bayi kecil masih tidak berdosa. Itu yang menjadi pujukan diri ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam kejadian itu, Muammar ditemukan pengsan selain terdapat susu keluar dari hidungnya.
Difahamkan, bayi tersebut dihantar ke taska berkenaan sejak Mac lalu dan sepanjang tempoh tersebut, tiada sebarang masalah yang timbul.
Bagaimanapun, pasangan itu enggan membuat sebarang tuduhan, sebaliknya mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas kematian bayinya secara menyeluruh termasuk unsur kecuaian.
Pasangan berkenaan juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Bapanya, Aidil Khalid, 41, dilaporkan berkata, dia difahamkan taska itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan turut mengendalikan beberapa bayi lain.















