SEORANG lelaki tergesa-gesa menolak seorang wanita kurang upaya di atas kerusi roda. Ketika itu azan isyak baru selesai berkumandang.
Melihat lokasi di pekarangan Masjidil Haram yang mulai sesak dengan jemaah dari seluruh pelusuk dunia, pasangan itu mengambil lokasi di bahagian belakang tempat solat wanita.
Sebaik membetulkan kedudukan kerusi roda itu betul-betul menghadap Kaabah, lelaki yang masih berihram itu bergegas pula mengambil tempat di petak solat kaum lelaki. Betul-betul bersebelahan penulis. Usia pasangan itu masing-masing kira-kira 60-an.
Selesai bersolat, lelaki berkenaan kembali ke sebelah wanita itu. Getus hati penulis mungkin mereka ini pasangan suami isteri. Melihat kepada tertibnya dia melayani wanita tersebut.
Ketika wanita tersebut bersolat sunat, lelaki tersebut setia berdiri di tepinya. Sambil menunggu wanita itu menyelesaikan ibadah.
Ini adalah pemandangan biasa di dua buah kota dalam Tanah Suci iaitu di Mekah dan Madinah. Kadang-kadang kita melihat sang anak menuntun tangan ibunya yang lanjut usia.
Seorang rakan memberitahu, Kota Mekah, Madinah ini adalah kota romantis. Sang suami setia pelbagai peringkat umur berpimpin tangan dengan isteri sama-sama menunaikan solat. Malah, ketika membeli makanan pun nampak kemesraan.
Ia bagaikan menyedarkan kita bahawa suatu hari semua manusia tidak akan berdaya juga. Ramai berpesan apabila berada di Tanah Suci jaga tutur kata, tingkah laku. Elak melakukan perbuatan sia-sia. Dilarang juga membuka sengketa.
Akan tiba waktunya kita menagih kudrat orang lain untuk bergerak. Waima untuk membuka butang baju sendiri. Allah SWT pun membenci kaum-kaum yang sombong.
Sedikit pengalaman penulis ketika menunaikan umrah baru-baru ini memang terasa kepenatan berhimpit-himpit dengan ratusan ribu jemaah dalam satu-satu masa.
Lebih-lebih lagi ketika ibadah tawaf dan saie.
Berlegar-legar dalam kepala penulis, apakah amalan mereka tadi sehinggakan Allah SWT hadirkan insan-insan penyayang. Sabar menguruskan keperluan tanpa sedikit mengeluh. Jika direnung dua-dua belah pihak diuji.
Mungkin mereka ini insan terpilih. Allah SWT hadirkan kesedihan, kesusahan, kesakitan, kehilangan, kemiskinan dan kehinaan sebagai tanda kasih sayang-Nya untuk diangkat darjat.















