Malaysia sudah membuktikan mereka mampu menewaskan Thailand dalam sukan sepak takraw, tetapi untuk tamatkan kemarau emas 34 tahun dalam acara berpasukan, skuad negara perlu hadir dengan regu bertaraf ‘kelas A’.
Kemenangan dramatik ke atas trio elit Thailand dalam aksi regu pada Kejohanan Piala Asia Kuala Lumpur baru-baru ini, membuka mata banyak pihak bahawa dominasi Gajah Perang boleh digugat, jika Malaysia berani bertaruh dengan barisan terbaik.
Pertahanan yang kemas, servis berani dan kawalan bola mantap jadi senjata utama ketika trio negara tundukkan seteru utamanya itu.
Namun sayangnya, momentum kemenangan itu tidak berterusan apabila Malaysia tumpas 0-2 dalam aksi final kategori berpasukan dan lebih sedih regu ketiga langsung tak sempat tunjuk taring.
Menurut jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun, masalah utama Malaysia masih sama iaitu konsistensi pukulan servis dan kawalan bola pertama yang gagal bertahan bila berdepan tekanan tinggi.
“Thailand lebih kemas dan tersusun. Kita ada kekuatan, tapi bila regu pertama dan kedua gagal bertahan telah memadam harapan,” katanya.
Malaysia bakal berdepan cabaran lebih getir pada Piala Raja Thai (Julai) dan Sukan SEA Thailand (Disember), dan jika masalah lama tidak diatasi segera, impian pingat emas hanya tinggal angan-angan.
Malah, jurulatih Thailand sendiri, Prawet Intra, mengakui kekuatan Malaysia selepas kekalahan mereka dalam acara regu.
“Malaysia kini antara regu paling kuat di Asia. Mereka ada enam pemain ‘bahaya’. Kalau Thailand tak kawal tekanan, mereka akan tewas,” katanya tanpa berselindung.
Bagi Ahmad Jais, rombakan pemain tidak dapat dielakkan dan peluang akan diberikan kepada muka baharu yang tampil cemerlang dalam liga tempatan.
“Kita perlukan pemain yang tidak gentar bila bertemu pasukan besar macam Thailand. Pemain baharu yang berani dan mental kuat akan dipertimbangkan untuk dibawa ke Piala Raja Thai,” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut menyatakan keyakinan tinggi terhadap skuad negara dan menyeru agar rakyat terus memberikan sokongan padu kepada pemain.
“Saya percaya kalau mereka diberi lebih banyak pendedahan dan sokongan daripada persatuan, kita tidak jauh daripada mencapai kejayaan.
“Sekarang, daripada empat acara, kita dah berjaya menang dua iaitu dalam acara kuadran dan regu. Saya yakin perjalanan kita untuk mencipta kejutan semakin hampir,” katanya.















