fbpx
Mohd. Shuhaily ketika ditemu bual di pejabatnya di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Kekayaan dipertonton, rumah diceroboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pempengaruh atau individu terkenal yang gemar mempamerkan kekayaan dan gaya hidup mewah di media sosial dilihat semakin membimbangkan apabila ia mula menarik perhatian penjenayah. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket yang terlibat dalam jenayah ini menjalankan pemerhatian rapi terhadap aktiviti harian mangsa melalui media sosial. 

Katanya, penjenayah mengenal pasti aset, lokasi kediaman, waktu ketiadaan di rumah, jenis kenderaan serta sistem keselamatan seperti televisyen litar tertutup (CCTV). 

“Pempengaruh sering kali secara tidak sedar mendedahkan terlalu banyak maklumat peribadi termasuk lokasi, barangan mewah, dan rutin harian mereka di media sosial.

“Ini memudahkan penjenayah menyusun strategi untuk melakukan jenayah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bukit Aman di sini baru-baru ini. 

Sehubungan itu, beliau menggesa golongan pempengaruh dan individu terkenal agar lebih berhati-hati dalam berkongsi gaya hidup mewah di media sosial selepas beberapa kejadian pecah rumah dipercayai berpunca daripada pendedahan berlebihan mengenai kekayaan dan kehidupan peribadi. 

Mohd. Shuhaily ketika ditemu bual wartawan Kosmo! di pejabatnya di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

“Jangan mempamerkan aset dan barangan berharga melalui media sosial agar tidak menarik perhatian penjenayah. 

“Tidak mendedahkan maklumat yang membuka ruang dan peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah semasa mangsa meninggalkan kediaman atau premis atau kenderaan,” katanya. 

Mohd Shuhaily mendedahkan statistik bagi tahun 2024 menunjukkan sekurang-kurangnya dua kes pecah rumah melibatkan pempengaruh direkodkan. 

“Satu kes di Gombak, Selangor dan satu lagi di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Dalam kedua-dua kes ini penjenayah dipercayai membuat kajian terperinci terhadap mangsa melalui media sosial sebelum melancarkan serangan. 

“Mangsa pertama, seorang usahawan kosmetik mengalami kerugian sebanyak RM3.5 juta selepas rumahnya dipecah masuk.

“Manakala kes kedua membabitkan pemilik perniagaan makanan popular yang mengalami kerugian kira-kira RM449,930,” kata beliau. 

Pada masa sama, beliau mengingatkan pempengaruh untuk meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan diri serta harta benda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN