fbpx
Remaja yang menambat hati netizen dengan pengucapan penuh kematangan, Syazlan Putra ini merupakan Ketua Pelajar SMK Seri Nibong Pulau Pinang.

Syazlan Putra, remaja berucap bak pemimpin negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPETAHAN Muhamad Syazlan Putra Sazli dalam melontarkan buah fikirannya sering kali membuatkan pendengar terpaku dan terinspirasi.

Tutur katanya yang lantang, tersusun dan penuh keyakinan membuatkan dia kelihatan begitu matang seolah-olah seorang pemimpin negara yang sedang berucap di pentas besar walaupun hakikatnya dia cumalah remaja berusia 17 tahun yang berbicara di depan rakan-rakan di perhimpunan sekolah.

Lantaran itu, ucapan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Pulau Pinang itu sering meraih ratusan ribu tontonan setelah dimuat naik ke akaun TikTok ustazahnya, Noor Aimah Md Isa@Haron yang menggunakan nama @noorisa.

Menurut Muhamad Syazlan Putra, pendedahan awal daripada bapanya, Sazli Zulkepli dan datuknya, Wan Zulkepli Mat terhadap isu politik serta hal ehwal semasa telah mencungkil kebolehannya dalam pengucapan awam.

“Pendedahan terhadap dunia politik sejak darjah dua oleh ayah dan atuk menjadi acuan yang membentuk kebolehan saya hari ini. Saya percaya, kebolehan untuk bersyarah tanpa teks merupakan anugerah yang Allah SWT kurniakan kepada setiap manusia.

“Namun, setiap individu perlu rajin mengasahnya melalui pembacaan serta berani tampil di hadapan khalayak untuk mempraktikkan bakat tersebut,” katanya kepada K-Remaja.

Muhammad Syazlan Putra merupakan Ketua Pelajar merangkap Ketua Pengawas sekolah berkenaan. Untuk rekod, Muhammad Syazlan Putra juga pernah dinobatkan Johan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Daerah Seberang Perai Selatan 2023 dan turut dinobatkan Pembahas Terbaik.

Momen paling manis buatnya adalah apabila dilantik sebagai Ketua Pembahas SMK Seri Nibong pada usia 15 tahun dan berjaya mengembalikan kegemilangan pasukan debat sekolah di peringkat daerah.

Mengulas rahsia di sebalik kehebatannya dalam pidato dan debat, anak ketiga daripada empat beradik itu menjelaskan bahawa seseorang perlu memiliki ilmu.

Selain itu, individu tersebut perlu berupaya mencari sudut pandang sendiri dalam setiap isu yang dibahaskan dengan memahami pelbagai perspektif.

“Saya akan membaca dan mengkaji sesuatu isu yang hendak saya kupaskan kerana bersyarah perlu ada ilmu dan perlu mencari titik perspektif kita dalam sesuatu isu.

“Di samping itu, saya juga bertanyakan ibu bapa, guru-guru mahupun rakan-rakan tentang pandangan mereka terhadap sesuatu topik.

“Dengan ini, dapatlah saya mendengar perspektif mereka sebelum membentuk pendapat saya sendiri,” katanya.

Bercita-cita menjadi pakar ekonomi negara, Muhammad Syazlan Putra mengidolakan Nabi Muhammad SAW, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Selain berpidato dan berdebat, Muhamad Syazlan Putra juga mahir dalam deklamasi sajak apabila dinobatkan Johan Poetry Recitation peringkat negeri serta mewakili negeri ke peringkat kebangsaan dalam acara tersebut.

Pelajar ini juga cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Kemahiran deklamasi sajaknya diasah melalui bimbingan murabbi, Ustazah Aimah, sehingga dia mampu menyampaikannya dengan penuh makna, manakala dorongan untuk terlibat dalam bidang STEM pula datang daripada guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta matematiknya, Cikgu Loh Soo Ting.

Syazlan Putra bersama ibu, Norrita Musa dan bapa, Sazli semasa Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Seri Nibong 2024.

Muhamad Syazlan Putra turut berperanan sebagai fasilitator dalam bengkel sains interaktif di Penang International Science Fair 2023.
Selain itu, projek inovasinya seperti LUMI-PARK (parkir rumah pintar) dan DORAECOIN (tabung bijak untuk kanak-kanak) di acara STEM lain membuktikan kreativitinya dalam menyelesaikan masalah melalui teknologi dan empati sosial.

Tambah Muhamad Syazlan Putra, sains dan bahasa tidak harus dipisahkan kerana ilmu sains memerlukan kreativiti untuk disampaikan dengan berkesan.

“Saya percaya yang sains dan kreativiti linguistik mampu bergerak seiring dan sejalan. Sains ialah fakta dan ia perlu diperjelas dengan kreatif agar semua pihak dapat memahaminya.

“Inovasi STEM bukan hanya melibatkan kepintaran dalam mencipta, tetapi kita perlu tahu bagaimana mahu memperjelaskannya dan di situlah munculnya kepentingan kreativiti,” katanya.

Sebagai seorang pemimpin pelajar, Muhamad Syazlan Putra tidak menafikan cabaran paling besar yang dihadapinya ialah usaha untuk memuaskan hati semua pihak.

Namun begitu, dia sentiasa berpandukan prinsip musyawarah dan konsep menang-menang dalam setiap keputusan diambil. Baginya, sesuatu keputusan yang berkesan dan adil perlu melibatkan pandangan semua pihak yang berkepentingan termasuk guru, ibu bapa, barisan pengawas serta rakan-rakan pelajar sendiri.

Pendekatan inklusif ini menjadi asas kepada gaya kepimpinannya yang matang dan bertanggungjawab.

Dalam pada itu,Muhamad Syazlan Putra turut berkongsi aspirasi dan legasi yang ingin ditinggalkan di sekolahnya itu.

Baginya, legasi yang paling bermakna bukan sekadar pada nama atau pencapaian, tetapi dalam pembentukan sahsiah dan jiwa pelajar yang tinggi nilainya.

“Keikhlasan yang saya katakan ini hanya mampu dicapai sekiranya seseorang itu cinta kepada alma maternya (institusi pendidikan).

“Legasi yang terbaik bagi saya ialah legasi pelajar yang beradab dan hormat kepada ilmu,” jelasnya.

Sedar tentang pengaruh internet terhadap pembentukan pendapat umum, Muhamad Syazlan Putra menganggap video-video miliknya yang viral dapat mendidik masyarakat umum.

Dia mahu membuktikan bahawa suara remaja juga penting dan mampu membawa perubahan tanpa dirinya dipuja melebihi mesej yang ingin disampaikan.
Muhamad Syazlan Putra juga menekankan kepentingan fahami dahulu, baru bercakap, agar media sosial tidak menjadi platform yang melahirkan generasi ekstremis tanpa ilmu.

“Mesej utama ialah untuk menyedarkan masyarakat bahawa generasi yang sering dimomokkan sebagai lembik, lemau dan tidak beradab ini sebenarnya masih punya harapan.

“Pandangan negatif itu harus diubah kerana ramai anak muda kini tampil dengan pemikiran yang matang dan berwawasan,” ungkapnya.

Sebelum menutup bicara, dia sempat menitipkan nasihat buat para pelajar yang ingin mengejar kejayaan, baginya penting untuk sentiasa mendengar nasihat ibu bapa dan para pendidik serta menanamkan sikap positif dalam diri.

Anak muda tersebut turut menegaskan setiap kejayaan bermula dengan langkah kecil dan tiada yang mustahil untuk dicapai.

“Jadi diri sendiri, ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara, sentiasa mendengar nasihat ibu bapa dan pendidik serta sentiasa berfikiran positif.

“Setiap perkara ada permulaannya, dan tidak mustahil untuk anda menggapai harapan atau kejayaan yang bagi anda mustahil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN