PETALING JAYA – Sebuah masjid di Kelantan mencuri perhatian apabila membina replika plaza tol mini dinamakan ‘Infaq N Go’ sebagai inisiatif kreatif untuk menggalakkan orang ramai bersedekah.
Masjid Al-Munir Mukim Pantai Senok yang terletak di Bachok memperkenalkan kaedah itu dengan menyediakan kemudahan infaq secara tunai serta menerusi imbasan kod QR.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik pengguna Facebook, Mohd. Wok Long, kelihatan plaza tol itu diletakkan di hadapan laluan masuk masjid lengkap dengan papan tanda.
“Lalu jalan ini jangan lupa bayar tol ya. RM1 takpe dah untuk saham akhirat.” tulis pemilik akaun di ruangan kapsyen.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna menyambut baik usaha berkenaan dan menyifatkannya sebagai idea menarik yang boleh menjadi contoh kepada masjid-masjid lain.
“Tol persediaan untuk alam seterusnya. Moga berlipat kali ganda buat mereka yang ‘bayar tol’ tersebut dengan ikhlas. Insya-Allah,” komen Nazara Ikuone.
“Cantik, bayar di dunia dapat resit di akhirat. Insya-Allah,” ujar Ariel Syah.
“Alhamdulillah, lubuk pahala. Bertuahnya rakyat Kelantan kumpul saham akhirat dengan cara kreatif begini,” kata Suri Ami. – KOSMO! ONLINE