JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang pemandu van sekolah selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap dua orang kanak-kanak di Taman Desa Harmoni, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia 58 tahun itu ditahan di rumahnya susulan polis menerima laporan dibuat bapa mangsa.
“Pada 21 April lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dicabul oleh suspek yang memegang bahu, peha dan punggungnya ketika dalam van sekolah itu kira-kira 9.30 pagi ketika menunggu pagar sekolah dekat Taman Molek di sini, dibuka.
“Mangsa kemudian mengadu mengenai kejadian itu kepada bapanya, namun bapanya tidak mengambil sebarang tindakan kerana mengenali suspek berusia 58 tahun itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, bapa mangsa itu ternampak suspek mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di dalam van sekolah yang sama itu di kawasan Taman Redang, di sini ketika menunggu ketibaan pelajar lain, semalam.
Katanya, setelah melihat kejadian itu di depan matanya, bapa kanak-kanak perempuan itu mempercayai kata-kata anaknya dan membuat laporan polis terhadap suspek.
“Polis kemudian menahan suspek kira-kira pukul 5.30 petang semalam, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017. Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah menerusi ujian saringan air kencing,” ujarnya.
Pada pagi tadi, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dipohon reman bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah, Muhammad Fitri Mokhtar mengeluarkan perintah reman terhadap tertuduh selama seminggu bermula hari ini hingga Isnin ini. – KOSMO! ONLINE