JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal menarik nafas lega apabila permohonan bagi mendapatkan tempat tinggal selepas ‘dihalau’ tuan rumah tercapai.
Rahimah B. Karim, 50, berkata, sebelum ini dia bersama dua anak yang juga orang kurang upaya (OKU) menyewa sebuah rumah di Taman Mount Austin dengan kadar RM1,100 sebulan.
Bagaimanapun, katanya, pemilik rumah menaikkan kadar sewa kepada RM1,600 menyebabkan dia lagi tidak mampu membayar jumlah tersebut.
“Saya mengambil upah memasak lauk sambil menjaga seorang anak OKU terlantar. Sewa rumah sebelum ini sebanyak RM1,100 pun sukar nak kumpul, apatah lagi RM1,600.
“Ketika itu saya pasrah dan sedia membawa anak-anak tinggal di bawah jambatan sekiranya perlu.
“Alhamdulillah permohonan untuk mendapatkan kediaman bantuan kerajaan diluluskan,” katanya ketika ditemui pada program Majlis Perasmian Rumah Transit Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini.
Menurut ibu enam cahaya mata itu, dia nekad melakukan yang terbaik bagi memastikan kesejahteraan diri dan keluarga selepas bergelar ibu tunggal.
“Saya bersyukur kerana dibenarkan menetap di rumah transit ini. Bukan kediaman percuma yang diharapkan, tetapi tempat tinggal selesa untuk kami tiga beranak.
“Saya harap program ini dapat diteruskan bagi membolehkan lebih ramai individu yang kurang berkemampuan seperti saya mendapat manfaat,” katanya. – KOSMO! ONLINE