PELUANG menyambung pengajian di universiti bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, tetapi turut meninggalkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Saleha.
Mengimbau kenangan tujuh tahun lalu, Saleha yang kini bekerja di ibu kota mengakui tidak dapat melupakan kejadian seram dialaminya ketika menuntut di salah sebuah pusat pengajian tinggi di utara tanah air.
Menurut wanita berusia 27 tahun itu, segalanya bermula apabila menjadi penghuni salah satu bangunan asrama yang sebelumnya dibiarkan kosong disebabkan urusan baik pulih.
“Awalnya tiada sebarang kejadian aneh sehingga masuk minggu keempat di asrama. Waktu itu mula muncul pelbagai kejadian seperti bunyi suara ketawa dan tiba-tiba ada bauan wangi selain setiap pukul 12 tengah malam pasti terdengar bunyi batu yang dibaling pada tingkap.
“Awalnya saya tidak fikir apa-apa sehinggalah rakan sebilik bernama Noor menceritakan pengalamannya diganggu wanita berambut panjang yang sedang menyisir rambut.
“Kemudian wanita itu perlahan-lahan berpaling kepadanya dan alangkah terkejut apabila melihat wanita itu tidak memiliki muka. Disebabkan takut dia terus berlari ke bilik rakannya,” kata Saleha.
Saleha memberitahu, pada malam Noor diganggu itu, Saleha tiada di bilik kerana terpaksa pulang ke kampung disebabkan ada kematian ahli keluarga. Selepas mendengarkan cerita rakan biliknya, Saleha mula tidak senang hati jika dia bersendirian di dalam bilik.
Kemudian, pada satu hari, Saleha dapati Noor belum pulang ke bilik walaupun sudah pukul 10 malam. Sedang Saleha hendak keluar untuk bertanyakan rakan-rakan, tiba-tiba Noor muncul di pintu.
“Saya pun bertanyakan mengapa balik lambat, tetapi Noor tidak menjawab. Sebaliknya dia diam membisu tanpa sebarang reaksi lalu terus duduk di bangku meja belajar.
“Saya fikir Noor penat jadi saya biarkan saja. Saya kemudian meminta Noor tutup lampu jika dia sudah bersedia untuk tidur kerana saya ingin tidur dahulu. Ketika saya sedang berbaring di katil, Noor kemudian bangun dan duduk perlahan-lahan di katil saya sambil matanya tajam merenung ke arah saya.
“Saya bertanya kepada Noor, tetapi dia tidak menjawab sebalik tersenyum kemudian ketawa sehingga mengeluarkan suara seperti puntianak mengilai. Disebabkan takut saya terus berlari dan keluar untuk pergi ke bilik sebelah.
“Tetapi, alangkah terkejut apabila saya melihat Noor sedang berjalan di koridor bersama tiga rakannya. Saya pun cepat-cepat pergi ke arah Noor menceritakan kejadian itu dan meminta beberapa orang rakan penghuni asrama lain untuk turut melihat makhluk apa yang ada di dalam bilik itu,” katanya.
Makhluk yang menyerupai Noor itu hilang, tetapi yang ada cuma bau busuk seperti bangkai sehingga menyebabkan Saleha dan Noor tidak boleh tidur di bilik.
Keesokannya, Saleha dan Noor membuat aduan kepada warden asrama, tetapi anehnya bau busuk itu sudah tiada.
Apabila warden memeriksa keadaan bilik, alangkah terkejutkan apabila mereka menjumpai bangkai tikus yang sudah mereput.
“Saya tidak tahu bagaimana perkara itu berlaku kerana sebelum ini kami tak pernah mengalami sebarang bau busuk atau melihat tikus berkeliaran,” katanya.
Kemudian, pada malam itu Saleha dan Noor diganggu bunyi bising sehingga mereka memanggil beberapa rakan untuk datang ke bilik untuk mengesan bunyi bising itu.
Tiba-tiba seorang rakan berteriak sambil tangannya menunjuk ke arah tingkap.
“Saya pun melihat ke arah tingkap dan mendapati ada wanita dengan wajah yang hitam seperti kesan terbakar, berambut panjang dan mata merah merenung tajam ke arah saya sambil tersenyum,” katanya yang kemudian pengsan tidak sedarkan diri.
Sebaik saja sedar, Saleha telah dibawa pulang ke rumahnya oleh keluarga dan diminta untuk dirawat secara perubatan Islam.
“Katanya, saya lemah semangat, sebab itu pengsan. Saya juga dapat tahu pada malam kejadian berlaku kejadian histeria beramai-ramai,” katanya.
Disebabkan bimbang kejadian sama berulang, warden menasihatkan agar bilik kami itu dikosongkan dan berpindah ke bilik lain.
“Selepas itu kami tidak lagi mengalami hal misteri dan bilik itu dibiarkan kosong.
“Apa yang saya tahu, khabarnya bilik itu masih dibiarkan tanpa penghuni sehingga ke hari ini,” katanya.














