JOHOR BAHRU – Seorang wanita berusia 59 tahun didakwa di dua Mahkamah Majistret berbeza di sini hari ini atas dua pertuduhan menjual pakej pelancongan palsu kepada dua mangsa melibatkan kerugian bernilai hampir RM16,000.
Tertuduh, Low Siew Hwa bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab dan A. Shaarmini.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Siew Hwa didakwa telah menipu seorang wanita berusia 52 tahun untuk membayar RM14,396 bagi pakej percutian tidak wujud di sebuah premis di Taman Setia Indah, di sini antara 22 November hingga 9 Disember tahun lalu.
Manakala pertuduhan kedua, dia turut didakwa memperdaya seorang wanita berusia 58 tahun untuk memindahkan wang sebanyak RM1,588 ke dalam sebuah akaun bagi pakej percutian tidak wujud di Taman Bukit Indah pada pukul 6.02 petang, 12 Mac lalu.
Atifah Hazimah memberikan jaminan sebanyak RM6,000 dengan sebutan semula pada 17 Jun, manakala Shaarmini menetapkan jaminan RM5,000 dan sebutan semula pada 29 Mei ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Nur Fatihah Mohd Nizam. – KOSMO! ONLINE