Ada banyak spesies ikan gelama di negara kita, dari sekecil dua jari sehinggalah ke puluhan kilogram seperti ikan ibu gelama. Gelama merupakan antara spesies ikan yang menjadi punca untuk seseorang memancing di laut. Antara spesies yang menjadi buruan peminatnya adalah ikan gelama tirusan.
Sungai Sepang Besar di Bagan Lalang, Selangor tidaklah panjang dan lebar. Tekanan memancingnya juga tinggi akibat lokasinya yang berdekatan dengan Lembah Klang. Jadi, sentiasa ramai pemancing di sungai ini saban hari.
Namun, sungai ini masih lagi dapat memberikan secebis kepuasan kepada pemancing untuk melepaskan gian. Ada banyak spesies ikan yang menjadi buruan di sungai ini, antaranya termasuklah siakap putih, siakap merah, kerapu, bulan, senangin, kurau, tebal pipi, gerut-gerut dan pelbagai jenis ikan gelama.
Di sini, jarang-jarang pemancing dapat ikan bersaiz kasar, kebanyakan hanyalah ikan bersaiz kecil termasuk pelbagai jenis gelama. Gelama tirusan juga jarang didapati, namun sejak kebelakangan ini ada kebanjiran spesies ini di dalam sungai terutamanya di lubuk berair dalam.
Ini kerana, saya kerap mendapatkan ikan berkenaan pada tahun ini. Gelama tirusan atau nama saintifiknya, Bahaba polykladiskos harganya tidak semahal mana di pasaran, namun pelampungnya dikatakan boleh menjangkau harga ribuan ringgit.
Tirusan
Namun, ia bukanlah sejenis ikan yang menjadi buruan utama pemancing lantaran kesukaran mendapatkannya dalam kuantiti banyak dan ikan ini juga bermusim.
Kebanyakan ikan gelama tirusan yang diperoleh oleh pemancing adalah secara tidak sengaja kerana teknik memancingnya agak remeh dan leceh berbanding ikan-ikan lain.
Walaupun ia dikatakan sebagai spesies ikan gelama bersaiz besar, namun kini amat sukar untuk mendapat saiz mega.
Kebanyakannya seberat sekilogram seekor, itu sudah dianggap besar.
Tambahan pula, permintaan dan harga yang tinggi untuk pelampungnya menyebabkan ikan ini ditangkap secara komersial menggunakan jaring sehingga populasinya merudum.
Getuan gelama tirusan yang halus apabila memakan umpan menyebabkan ramai tertewas dengan helah sergapannya.
Kepekaan terhadap lenturan tali dan joran, kepantasan sentapan joran memerlukan sedikit kemahiran kerana ikan ini pandai mengetu atau mencuri umpan.

Di sungai ini, ikan tirusan sangat memilih umpan. Setakat umpan perumpun, udang kopek, hirisan sotong atau ikan, tidak akan dipedulikannya. Umpan terbaik adalah udang hidup bersaiz besar, lebih kurang saiz jari telunjuk.
Itupun ikan ini mahu udang yang masih kuat, jika sudah lemah, ia tidak akan menarik perhatiannya.
Teknik dan lokasi
Saya menggunakan perambut 40 paun (lb) sepanjang setengah depa dengan satu mata bersaiz 1/0.
Batu ladung bergantung kepada kekuatan arus, asalkan ia tidak hanyut sudah memadai.
Di sepanjang Sungai Sepang Besar dan muara Bagan Lalang, kebiasaannya ikan gelama tirusan ini mendiami lubang paloh atau sepanjang tubir (drop-off) di kedalaman air sekitar 10 hingga ke 20 meter.
Anda perlu berhati-hati apabila memancing ikan ini. Jika seekor terlepas, lebih baik anda bertukar lokasi kerana kumpulannya akan menghilangkan diri.
Kebiasaannya, hanya beberapa ekor dapat dinaikkan di satu-satu lokasi kerana ikan ini cepat culas. Ia juga akan menggetu umpan dengan cermat sehingga habis tanpa disedari.
Set pancing ringan dan sederhana ringan boleh digunakan.
Anggaran saiz ikan gelama tirusan di kawasan ini sekitar 500 gram (g) dan boleh menjangkau sehingga dua kilogram.
Ikan ini juga pernah didaratkan menggunakan umpan udang hidup pada malam hari.
Masa terbaik
Ikan ini gemar memakan umpan ketika air surut berarus perlahan dan air bunga pasang semasa pasang surut kecil.
Ikan ini galak makan umpan biasanya pada awal pagi dan waktu petang hingga ke malam mengikut masa pasang surut air.
Sila beri lebih perhatian ketika waktu hampir senja ketika air bunga pasang.
Jika bernasib baik, siakap putih juga boleh mengena kerana ikan gelama tirusan ini gemar berlegar bersama spesies itu untuk mencari makan.
Bagi pemancing dasar, ikan tirusan wajar menjadi sasaran bagi menajamkan kemahiran menyentap joran tepat pada waktunya. Hal ini kerana cara ia memakan umpan seperti getuan anak gelama. Jadi kepantasan menjadi kunci utama ketika menyentap joran.
Jika ada empat hingga lima orang di dalam sebuah bot, belum tentu semuanya dapat menaikkan gelama tirusan ini.
Dengan perjalanan lebih kurang 1 jam 30 minit dari Kuala Lumpur, anda boleh menambah koleksi peribadi menaikkan spesies gelama tirusan di Sungai Sepang Besar.














