PUTRAJAYA- Moratorium kepada tempoh interim pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam membabitkan golongan jururawat Kementerian Kesihatan (KKM) dilanjutkan sebulan lagi, sebelum rumusan hasil daripada sesi libat urus tersebut dibentangkan kepada Kabinet pada 1 Julai depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tempoh pelanjutan moratorium itu membolehkan pihaknya untuk meneliti pelbagai aspek melibatkan petugas kesihatan terutamanya membabitkan isu kebajikan.
“Banyak kali saya sebut, saya tidak akan berpuas hati untuk membuat keputusan tanpa saya benar-benar memahami keseluruhan program kejururawatan secara terperinci (kerana) kumpulan berbeza, beban kerja (juga berbeza).
“Saya yakin kita sudah sampai di peringkat untuk membuat ketetapan itu.
“Memang mudah buat rumusan tetapi yang mustahak adalah segala pertimbangan, perhitungan dan keprihatinan yang cakna kepada bidang kejururawatan ini supaya ia benar-benar dapat disesuaikan dan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Institut Kanser Negara di sini hari ini.
Pada 25 Februari lalu, Dr. Dzulkefly dilaporkan berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan tempoh interim bagi persediaan pelaksanaan pendekatan itu antara 1 Disember lalu hingga 28 Februari lepas.- KOSMO! ONLINE