PADA zaman Generasi Z kini, peluang wanita untuk meneroka bidang yang dianggap didominasi kaum lelaki semakin terbuka dengan luas.
Bidang penerbangan atau aviasi contohnya menyaksikan kaum Hawa kini semakin ramai menjadi juruterbang untuk pesawat komersial dan bukan komersial.
Bagi Sarah Yasmin Ahmad Khairoze, 23, minat untuk terbang bebas seperti burung di angkasa raya mendorongnya mengambil bidang tersebut.
Dia yang merupakan penerima Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bagi Kategori Pelajar Terbaik Kursus Diploma & Lesen Juruterbang Admal Aviation College 2023 kini bertugas sebagai Pegawai Operasi Penerbangan Admal Aviation College.
“Saya mengikuti bidang pengurusan dalam industri penerbangan di Admal Aviation College selama tiga tahun.
“Dua tahun setengah kursus pengurusan penerbangan saya lengkapkan, sebelum mengambil lesen menjadi juruterbang dalam enam bulan terakhir.
“Ini bermakna saya lebih dahulu didedahkan dengan bidang pengurusan aviasi, ekonomi dan memahami selok-belok bidang ini di muka bumi sebelum meneroka awan biru,” katanya ketika ditemui di Admal Aviation College Salak Tinggi Sepang di sini baru-baru ini.
Gadis berasal dari Kulim, Kedah itu berkata, kejayaannya sebagai pelajar terbaik kursus tersebut menterjemahkan prinsipnya bahawa lelaki dan wanita mempunyai peluang sama rata jika mereka berusaha tanpa berbelah bahagi.
Katanya yang tidak gayat ketika berada di ruang udara, sejarah mencatatkan kaum wanita pernah membuat penerbangan solo sejak zaman lampau hingga ada yang menjadi juruterbang pesawat pejuang maka bidang ini wajar diteroka golongan wanita.
“Pensyarah dan tenaga pengajar di Admal Aviation College terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman dan saya amat bertuah belajar daripada yang terbaik.
“Tiada perbezaan antara lelaki dan wanita untuk mendalami ilmu penerbangan. Semua datang ke sini untuk memenuhi harapan keluarga bagi menggenggam segulung diploma dan lesen juruterbang,” katanya.
Mengulas mengenai syarat-syarat mendapat lesen kapal terbang, Sarah Yasmin berkata, selain diajar aspek teknikal dan mekanikal, dia perlu menjalani tempoh 50 jam penerbangan yang menguji kekuatan mental dan fizikal.
Pengalaman tersebut jelasnya, sungguh mencabar tetapi amat indah untuk dikenang sebagai sebahagian episod kehidupan menjadi pelajar di kolej penerbangan itu.
“Jurulatih memberi tunjuk ajar penuh komited bagi memastikan saya mampu terbang solo dengan ilmu penerbangan dari A hingga Z.
“Pengalaman paling sukar dilupakan, semasa saya terbang tinggi ke udara hingga mencecah awan pada jam pertama penerbangan. Sungguh menakjubkan,” katanya.
Jelas puteri pasangan Ahmad Khairoze Ariffin, 50, dan Shazlina Mazlan, 49, ini lagi, pandangan dari udara telah menerbitkan rasa kagumnya dengan alam semesta yang Allah pinjamkan kepada umat manusia.
“Sesungguhnya saya rasa bersyukur kepada Allah kerana memberi saya nikmat ilmu sebagai juruterbang dan membanggakan keluarga yang banyak berkorban untuk kejayaan saya,” katanya.
Setelah diserap sebagai Pegawai Operasi Penerbangan di kolej tersebut, Suraya Yasmin berkata, dia kini diberi tanggungjawab untuk menyedia ‘manual’ atau panduan lengkap khusus untuk pelatih dan staf yang terlibat aktiviti penerbangan.
Jelasnya, kerja-kerja tersebut memerlukan dirinya bekerjasama dengan setiap jabatan yang ada di kolej penerbangan tersebut.
“Penyediaan manual tersebut melibatkan semua jenis kapal terbang yang ada di kolej ini.
“Setiap tugasan memiliki cabaran tersendiri, namun sebagai kaum Hawa, kerja yang dilakukan melibatkan majoriti kaum Adam dilakukan secara profesional. Masing-masing mencari rezeki,” katanya.
Pesan alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian Nibong Tebal ini kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jika mereka berminat dalam bidang penerbangan dan ingin terbang seperti dalam filem Top Gun: Maverick mereka dialu-alukan menyertai Admal Aviation College.
Tambahnya, dengan kos berpatutan ilmu yang diraih, pelajar wanita yang berminat, bukan sahaja mencipta kerjaya yang selama ini dikuasai golongan lelaki tetapi mampu menjana pendapatan lumayan demi menaikkan taraf hidup.















