HARI Pekerja membawa makna yang lebih mendalam dalam konteks negara yang sedang menghadapi fasa pasca normal baharu. Ia satu era yang sering kali dikaitkan dengan ketidakpastian, kerumitan dan pelbagai perubahan dinamik global.
Dalam suasana ini, permintaan terhadap tenaga kerja mahir, adaptif dan berdaya saing semakin meningkat. Justeru, agenda pemerkasaan tenaga kerja tempatan perlu diberi keutamaan melalui pembangunan kemahiran, pendidikan berterusan serta peningkatan kesejahteraan pekerja.
Pemerkasaan ini bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran kerja semasa, malah memastikan negara mampu mengekalkan daya saing dalam ekonomi global.
Dalam kerangka Malaysia Madani, pekerja bukan sekadar aset ekonomi, tetapi juga teras kepada pembinaan masyarakat yang inklusif, berdaya tahan dan beretika.
Oleh itu, sambutan Hari Pekerja harus dijadikan titik tolak kepada pengiktirafan menyeluruh terhadap sumbangan pekerja dan komitmen berterusan untuk membangunkan modal insan yang unggul bagi menjamin kegemilangan negara secara berterusan.
Statistik Tenaga Buruh Malaysia menunjukkan pemulihan positif dalam pasaran pekerjaan.
Pada Februari tahun ini, kadar pengangguran menurun kepada 3.1 peratus dengan bilangan penganggur sebanyak 532,800 orang, berbanding 533,800 orang pada bulan sebelumnya.
Bilangan tenaga buruh meningkat kepada 17.27 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh mencapai 70.7 peratus.
Dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan yang berdaya tahan perlu diberi keutamaan terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan landskap pekerjaan pasca pandemik.

Tenaga buruh tempatan terutamanya golongan belia perlu dibekalkan dengan kemahiran baharu (upskilling), kemahiran semula (reskilling) dan kemahiran silang (cross-skilling) agar kekal relevan dan kompetitif dalam pasaran kerja yang semakin kompleks serta dinamik.
Penyertaan golongan belia dalam tenaga buruh di Malaysia turut menunjukkan perkembangan positif.
Kadar pengangguran bagi mereka berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.3 peratus merekodkan hanya 298,900 penganggur belia pada Februari lalu.
Justeru, pembangunan dan latihan berterusan bukan sahaja dapat memberi nilai tambah kepada individu pekerja, malah menyumbang kepada peningkatan produktiviti nasional.
Selaras dengan insentif kerajaan, pelbagai program telah diperkenalkan bagi menyokong inisiatif ini.
Antaranya, Program Latihan Madani, Program Bina Kerjaya 2.0 dan latihan di bawah HRD Corp dengan peruntukan RM1.6 bilion yang menyasarkan 1.7 juta peserta.
Inisiatif seperti Program Academy in Industry (AiI) dan PROTEGE turut menyediakan latihan praktikal dan pengalaman industri kepada graduan yang dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Selain itu, industri juga digalakkan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran bagi memastikan kurikulum dan latihan ditawarkan menepati kehendak pasaran.
Pendekatan bersepadu ini penting untuk melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja cekap dari segi teknikal, malah fleksibel, inovatif dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta permintaan ekonomi semasa.
Kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan pemain industri perlu diperkukuhkan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri semasa.
Kerajaan telah memperuntukkan RM7.5 bilion untuk memperkukuh Pendidikan oleh Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), termasuk geran padanan RM50 juta bagi program Anak Angkat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang melibatkan penyertaan aktif sektor swasta.
Selain itu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berorientasikan kajian kes serta berasaskan masalah perlu diterapkan untuk membawa cabaran semasa ke dalam bilik kuliah.
Dalam era digital, peluang pekerjaan berasaskan pendigitalan dan ekonomi gig semakin berkembang, sekali gus membuka ruang kepada tenaga buruh tempatan untuk menjana pendapatan secara fleksibel.
Platform digital seperti e-dagang, penghantaran makanan dan perkhidmatan atas permintaan membolehkan individu mencipta pekerjaan sendiri tanpa bergantung kepada sektor formal.
Fenomena ini amat bertepatan dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan keusahawanan inklusif dan daya tahan ekonomi.
Pada masa sama, sektor 3D (dirty, dangerous, difficult) yang sebelum ini kurang diminati oleh rakyat tempatan wajar dijenamakan semula dengan penawaran gaji setimpal, perlindungan sosial yang baik dan peluang latihan kemahiran.
Inisiatif kerajaan memperkenalkan insentif bagi syarikat yang menggaji pekerja tempatan dalam sektor ini adalah langkah proaktif ke arah pengurangan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.
Gabungan pendekatan ini penting dalam memastikan peluang pekerjaan yang inklusif, pelbagai dan mampan bagi semua golongan dalam masyarakat.
Kesimpulannya, usaha bersepadu dalam melahirkan modal insan yang berdaya tahan dapat memacu tenaga buruh tempatan agar selari dengan peningkatan berterusan dalam sektor pekerjaan.
Ini akan menentukan kejayaan Malaysia yang lebih cemerlang pada masa hadapan, sejajar dengan semangat ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ dalam wadah Malaysia Madani.














