PETALING JAYA – Penyakit kelamin dalam kalangan orang muda di negara ini semakin membimbangkan apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dijangkiti sifilis selepas bercuti di Thailand baru-baru ini.
Remaja itu dikatakan pergi ke negara jiran selepas diajak rakannya dan melakukan hubungan terlarang dengan pelacur di sana.
Perkara itu didedahkan doktor perubatan, Dr. Ahmad Samhan Awang yang memberitahu, remaja berkenaan datang berjumpa dengannya di klinik selepas alat sulit mengeluarkan cecair nanah minggu lalu.
Pegawai perubatan itu kemudian bertanya sama ada remaja tersebut ada melakukan hubungan seks dengan mana-mana individu.
Pesakit itu kemudian mengaku berkunjung ke Thailand baru-baru ini selepas diajak rakan kononnya untuk bersiar-siar sebelum dibawa ke satu lokasi bagi mencuba
sesuatu yang baharu.
“Tarik nafas panjang saya. Kemungkinan besar dia (remaja) sudah dijangkiti penyakit kelamin. Muda-muda sudah ada penyakit kelamin. Jauh lagi perjalanan hidupnya dan perlu bertaubat.
“Perlu memilih dalam berkawan. Jangan mudah terikut-ikut, kena tahu beza yang mana haram dan yang mana halal,” tulisnya menerusi hantaran di akaun Instagramnya kelmarin.
Mengikut pendedahan remaja itu, pelacur tersebut meminta bayaran RM50 sebagai ‘saguhati’ dan wang tersebut adalah wang saku pemberian ibunya.
Justeru Dr. Ahmad Samhan menasihatkan golongan ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak walaupun sibuk dengan kerjaya.
“Mungkin ramai ibu bapa terlepas pandang untuk pantau aktiviti anak-anak disebabkan kesibukan kerjaya. Dengan siapa dia (anak) berkawan, dengan siapa dia keluar apatah lagi untuk bercerita tentang pengetahuan seks di peringkat awal.
“Jangan malu untuk beri pendedahan awal tentang pengetahuan seks kepada anak-anak. Apa itu baligh, apa itu haid. Hubungan seks halal dan haram.
“Jangan hanya lepas tangan kepada guru,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Samhan berkata, golongan lelaki berusia 15 hingga 30 tahun merupakan kumpulan paling ramai dijangkiti penyakit kelamin.
Biarpun dianggap topik sensitif, statistik Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan ketara bagi penyakit kelamin seperti sifilis, gonorea, dan klamidia sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Golongan lelaki masih mendominasi kebanyakan kes (kecuali sifilis dalam kalangan wanita hamil meningkat). Usia 15 hingga 30 tahun paling ramai dijangkiti.
“Kawasan bandar lebih banyak mencatat kes berbanding luar bandar kemungkinan besar disebabkan gaya hidup yang lebih terbuka dan akses kepada aktiviti berisiko,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat juga kes penyakit kelamin bagi remaja di bawah 15 tahun, namun ia jarang berlaku dan biasanya berkait dengan isu penderaan seksual.
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, lonjakan mendadak kes sifilis dalam kalangan wanita hamil menunjukkan wujud jangkitan tersembunyi dalam komuniti yang tidak disedari pembawanya.
“Remaja mudah terdedah kerana kurangnya ilmu dan pendedahan awal mengenai seksualiti sihat.
“Selain itu, pendedahan pornografi sejak usia muda, pengaruh rakan sebaya, media sosial dan hubungan seksual tanpa perlindungan akibat impuls dan kurang kesedaran antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes penyakit kelamin,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kesedaran masyarakat mengenai pencegahan dan simptom penyakit kelamin masih rendah.
“Ramai (pesakit) yang hanya mendapatkan rawatan apabila simptom jadi serius seperti sakit semasa buang air kecil atau keluar nanah,” katanya.
Lebih membimbangkan, stigma masyarakat membuatkan ramai enggan melakukan saringan berkala atau berbincang secara terbuka mengenai isu tersebut.
“Pendidikan seksual memainkan peranan penting dalam menangani isu ini.
“Ia bukan semata-mata mengenai hubungan seks, tapi melibatkan perubahan hormon, tanggungjawab, pencegahan dan sempadan dalam perhubungan.
“Pendidikan dari rumah dan sekolah dapat membina pertahanan awal dan mencegah anak-anak daripada belajar dari sumber yang salah,” ujarnya.














