fbpx
Ketika ini seperti musim perkelahian selebriti sesama ahli keluarga bagaikan sedang ‘pass the baton’ antara mereka.

Syawal telah berakhir tapi tidak semua sudah dimaafkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“KITA ini kena pandai, tapi jangan memandai-mandai.” Ayat ringkas tersebut terngiang-ngiang dalam kepala. Terlalu banyak main media sosial agaknya. Jangan negatif, ‘pekerja komited’ macam penulis main media sosial atas dasar kerja sahaja (alasan), sesekali saja seronok-seronok, maklumlah zaman remaja dahulukala, usahkan media sosial, telefon awam pun jenuh nak jumpa.

Balik kepada bab pandai dan memandai-memandai. Kita dituntut menjadi pandai, sebab itulah anak seawal empat tahun, malah ada yang baru umur tiga tahun sudah dihantar masuk sekolah.

Tak kiralah ‘play school’ atau tadika biasa, pendek kata, minda kita sudah terasuh kena pandai, mahu pandaikan anak, pandai berdikari urus diri, mengaji dan tentunya pandai akademik. Kenapa?

Sebab kita kena jadi orang bijak. Orang bijak kena pandai, nak pandai kena ada ilmu dan lebih indah kalau ilmu itu membawa manfaat.

Persoalannya, cukup pandaikah kita. Walau sudah kaya dan berjaya, sudah cukup bijaksanakah kita. Jawapannya, tidak semua! Kerana sehari-hari, puas juga kita berbuat baik, solat, puasa dan bersedekah, ada antara kita tidak ‘pandai’ ikhlas dalam semua benda.

Kita pandai ikhlas hanya dalam sesetengah perkara, dalam beberapa soal lagi, kita tetap ‘bodoh’ dan berprasangka, suka berdendam dan cemburu iri hati.

Sehari-hari, kita melalui dan melihat kebodohan. Menjadi pengamal media yang sentiasa perlu ambil peduli kebodohan-kebodohan dan kesialan-kesialan dalam lingkaran dunia seni hiburan, terlalu banyak perkara tak cerdik pada pandangan mata sesetengah pihak perlu ditangani dengan baik.

Contohnya, ketika musim perkelahian selebriti sesama ahli keluarga yang seperti seronok sedang ‘pass the baton’. Habis satu demi satu aib dilondehkan, reda satu kes berganti pula kes selebriti yang lain pula.

Bermula kes Abby Abadi yang ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar, marahkan menantu, namun sakit hati berbelas tahun terhadap bekas suaminya, Norman Hakim yang terlondeh keluar jadi paparan. Di sebalik senyuman dan kemesraan di bibir selama ini rupa-rupanya tersimpan luka tersakiti yang tidak pernah sembuh, hanya menanti waktu kembali berdarah.

Keghairahan Abby melayan amarah mengisi keseronokan lumrah netizen yang seronok ‘membawang’ kisah rumah tangga orang. Media akan ‘pick up’ jadi cerita, silap hari bulan dituduh penyibuk hal artis pula.

Balik kepada ayat pertama, ‘kita ini kena pandai, tapi jangan memandai-mandai.’ Media tidak memandai-mandai, media itu sifatnya pelapor. Kalau bukan tugas, baik pergi healing.

Tamat kes Abby, Norman dan anak bertuah mereka, timbul pula pergaduhan pelakon Nabila Huda yang jijik dengan ibu tirinya.

Sengaja penulis langkau kisah keluarga pengasas jenama penjagaan diri terkenal, Bonda Rozita Ibrahim sebab terlalu banyak plot, sinetron 200 episod pun kalah dibuatnya.

Suhu hubungan Nabila dan ibu tirinya seperti cuaca, adakala kemarau berpanjangan, baik seketika, gerhana pula bersilih-ganti. Entah raya yang ke berapa agaknya tiada salam kemaafan.

Itu hanya satu dua persengketaan anak beranak depan mata yang kita tahu, ada lagi bermacam sengketa di luar sana yang memerlukan sedikit kebijaksanaan dan kesabaran untuk ditangani.

Marah, sakit hati itu biasa, yang penting, bagaimana semua itu dilalui, jangan sampai memperbodohkan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN