fbpx
Sebuah van penduduk yang tersangkut di laluan utama selepas dinaiki air di Bukit Payung, Kapar pada minggu lalu.

Hujan sejam, air naik paras pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Kegiatan penggondolan tanah secara tidak terka­wal di Bukit Payung, Kapar di sini, menyebabkan penduduk di kawasan itu hidup merana apabila lebih 50 buah rumah sering dilanda banjir lumpur sejak 10 tahun lalu.

Banjir itu juga menyebabkan lebih 200 penduduk sering terperangkap apabila laluan utama dinaiki air setinggi paras pinggang.

Kerja-kerja korek tanah di kawasan bukit itu dikatakan untuk keperluan projek pembinaan di sekitar Lembah Klang.

Seorang penduduk, Nazri Sukir, 60, mengakui telah letih berdepan situasi banjir lumpur yang tiada kesudahan sehingga membuatkan tidurnya tidak lena terutama ketika hujan
lebat.

Kata Nazri, rumahnya pernah dinaiki banjir setinggi 0.4 meter dengan dipenuhi lumpur.

“Jika hujan lebat dalam tempoh sejam hujan, air mula naik dan kemudian banjir. Lebih 10 tahun tanggung derita dan ia lebih kerap dalam tiga tahun ini akibat perubahan cuaca.

“Sistem peparitan yang mampu beroperasi cuma satu sahaja, tambahan pula kedudukan rumah kami di kawasan rendah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, penggondolan tanah di kawasan persendirian itu menyebabkan bukit tersebut tidak mampu berfungsi sebagai zon penampan air yang baik.

“Kalau banjir lumpur, perlukan empat jam untuk membersih­kannya. Banyak barang rumah telah rosak sebelum ini,” ujarnya.

Keadaan banjir lumpur di kawasan rumah penduduk di Bukit Payung, Kapar baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Mat Zain Sahli, 63, berkata, sekiranya laluan utama dinaiki air, dia akan membantu menghantar pelajar-pelajar ke sekolah menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Nak tunggu air surut lama, kadangkala perlu mengambil masa sehingga tiga jam. Apabila sudah surut, penuh dengan lumpur pula.

“Laluan air baharu perlu ada kerana ketika ini ia ‘terpotong’ dan melencong ke kawasan kebun. Keadaan itu juga membuat air termenung,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh menegaskan, Pejabat Daerah dan Tanah Klang telah memaklumkan bahawa tiada permit lagi untuk kerja-kerja korekan tanah merah pada tahun ini.

“Apabila saya turun padang dan penduduk nampak sendiri masih ada lagi lori yang turun naik bawa tanah merah dari bukit tersebut.

“Pegawai Daerah Klang memaklumkan bahawa pihaknya menghadapi kekangan anggota penguat kuasa.

“Isu banjir sudah lama. Cuma bagi saya sebagai wakil rakyat, kalau ada kecuaian manusia, maka perlu diperbetulkan. Kalau benda itu di luar kawalan kita, maka perlu reda. Namun buat masa ini, masih ada ruang-ruang kita perlu baiki,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN