PUTRAJAYA – Seramai 96 pelajar Sekolah Menengah (SMK) Tinggi Setapak, Kuala Lumpur yang terjejas dengan kebakaran blok asrama malam tadi ditempatkan di dua lokasi berdekatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kesemua pelajar itu ditempatkan di asrama berdekatan dan kuarters guru di hadapan sekolah berkenaan.
Beliau berkata, lokasi penempatan sementara itu adalah pilihan terbaik buat masa ini kerana ia dekat dengan bangunan sekolah.
“Pelajar terjejas tidak perlu pergi jauh sangat ke asrama lain (sekolah lain) dan tiada isu logistik susulan insiden ini.
“Kita juga akan memastikan bahawa penempatan baru itu dekat dan juga selesa untuk mereka (pelajar terjejas),” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56 2024 di sini hari ini.
Katanya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah mengambil tanggungjawab untuk melihat dan memberikan bantuan segera susulan insiden itu.
“Buat masa ini, mereka (pelajar) akan belajar secara talian sementara menunggu proses penempatan semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE