TANJUNG MALIM – Lebih 500 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Tisong kini dapat menarik nafas lega apabila akses perhubungan darat mereka iaitu jambatan bailey telah siap sepenuhnya hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, jambatan bailey itu dibina bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh di lokasi sama di Sungai Liat, Sungkai.
“Keseluruhan kerja pembinaan jambatan termasuk jalan tuju telah siap sekaligus memberi kemudahan kepada penduduk setempat melaksanakan aktiviti harian seperti biasa.
“Kerja pemasangan telah bermula pada 23 April dan siap sepenuhnya pukul 5 petang hari ini,” katanya di Jalan Felda, Sungai Klah Hot Spring Daerah Batang Padang, Tanjung Malim di sini hari ini.
Terdahulu, beliau secara simbolik merasmikan majlis ‘flag off’ jambatan bailey itu yang turut dihadiri ADUN Behrang, Salina Samsudin. – KOSMO! ONLINE