PETALING JAYA – Hujan lebat yang berterusan sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Shah Alam dinaiki air.
Pengguna media sosial mendakwa perubahan cuaca secara mendadak dengan hujan ‘selebat-lebatnya’ menyebabkan paras air naik dalam tempoh yang singkat.
Seorang pengguna @Liadally memaklumkan, paras air sungai menunjukkan peningkatan susulan hujan lebat yang disertai kilat.
“Hujan sangat lebat, kilat berdentam. Kawasan yang berisiko banjir kilat sudah mula bertakung air,” katanya.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut memaparkan air sungai di Jalan 222, Sungai Penchala meningkat dengan arus deras hampir melimpah ke tebing.
Seorang lagi pengguna, @Sepsepseptomtomtom memaklumkan, air naik dengan begitu cepat di beberapa lokasi termasuk Seksyen 13 dan kawasan berdekatan bulatan Kayangan di Shah Alam.
“Hujan baru 15 minit, tetapi air sudah naik. Jalan depan MSU hingga ke lampu isyarat Lebuhraya Guthrie pun nampak tinggi,” kongsinya.
Sementara itu, @Hazreenaeffendi_ meluahkan kebimbangan apabila kawasan Seksyen 14 yang jarang dilanda banjir turut menunjukkan tanda-tanda kenaikan air.
“Jarang Seksyen 14 naik air macam ini,” katanya.
Dalam pada itu, @Raffaei_rahman menyifatkan hujan petang tadi sebagai ‘tahap jingga’ menyebabkan penglihatan menjadi sangat terhad.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijangka berlarutan hingga pukul 6 petang.
Di Selangor, daerah Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang diramal mengalami hujan lebat berserta ribut petir. – KOSMO! ONLINE














