KUALA LANGAT – Aksi memandu secara berbahaya dilakukan seorang pemandu treler di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) sehingga tular memakan diri apabila kini diburu polis.
Ketua Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan kejadian itu berlaku dibawah pentadbirannya.
“Kita tengah kesan pemandu tersebut. Terima kasih atas maklumat,” katanya ringkas hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pemandu kenderaan berkongsi detik cemas apabila sebuah treler dari arah bertentangan dipandu secara berbahaya dengan memotong garisan berkembar dipercayai di Selangor.
Menerusi satu hantaran di TikTok milik @Telefunken43000, sebuah treler dilihat memotong kenderaan jenis sama di hadapannya ketika berada di atas jejambat, namun gagal.
Mulanya nak rakam pemandangan sahaja. Menakutkan, nasib baik kami berhenti tepi,” tulis pemilik akaun itu di ruangan kapsyen. – KOSMO! ONLINE