fbpx

Fantastic Food Fest temukan vendor, pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nabilah menunjukkan poster terbaharu program syarikat yang akan berlangsung di Bertam Square, Bertam pada 8 hingga 11 Mei ini.

SEBERANG PERAI – Penganjuran program festival makanan sering menjadi perhatian masyarakat kerana di situlah mudah untuk mereka mendapatkan pelbagai jenis menu makanan dan minuman bukan sahaja daripada pemanis mulut hinggalah kepada hidangan utama.

Lebih menarik jika, festival tersebut disertai oleh jenama popular yang tular di pasaran semasa sehinggakan peminat makanan tersebut terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran membeli makanan yang dimina­tinya.

Bagi vendor yang menyertai program tersebut, ia menjadi platform utama kepada mereka untuk menawarkan jualan produk masing-masing sekali gus mempromosikan jenama, mendekati pe­langgan dengan mendapatkan maklum balas terus daripada mereka serta menjana jualan.

Itu adalah antara pengisian utama yang menyebabkan penajaan sesebuah festival makanan dan minuman kini semakin popular, malah program tersebut menjadi trend masa kini sebagai program di sesebuah destinasi yang menjadi kunjungan ramai.

Dalam masa yang sama, ia juga menjadi salah satu punca rezeki buat mana-mana syarikat penganjuran yang terdiri daripada syarikat bumiputera untuk terus berdiri kukuh dalam industri berkenaan.

Menyedari potensi berkenaan, syarikat Nabilah Bahrin Group Sdn. Bhd. (Nabilah Bahrin) bakal menganjurkan sebuah program yang dikenali sebagai Fantastic Food Fest (FFF) 11.0 yang akan menghimpunkan lebih 130 vendor yang terdiri daripada usahawan produk tular dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari seluruh negara.

Menurut Pengasas syarikat, Siti Nabilah Dol Bahrin, program yang telah bermula pada bulan September 2023 itu akan membuka tirai semula pada 8 hingga 11 Mei ini.

Beliau menyakini, program tersebut dapat melonjakkan jenama-jenama lokal yang dibangunkan usahawan tempatan dengan lebih produktif.

Jelasnya, tema berlainan yang disuntik dalam penganjuran festival kali ini bakal meningkatkan semangat vendor-vendor yang menyertai program terbabit.

Katanya, pemilihan Bertam, Kepala Batas iaitu di Bertam Square sebagai lokasi festival terbaharu juga dijangka menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan juga dari negeri lain khususnya di kawasan Utara.

Ini adalah penganjuran kali kedua di Pulau Pinang yang mana program sebelum ini telah dilaksanakan di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

“Secara keseluruhannya, lebih 2.6 juta pengunjung telah hadir ke FFF sebelum ini iaitu daripada edisi pertama sehingga ke sepuluh.

“Saya yakin, kali ini ia akan bertambah meriah meman­dangkan kami membawa vendor-vendor yang belum pernah ­menyertainya.

“Kita bukan sahaja mahu membantu usahawan tempatan daripada segi penjenamaan, malah memperluaskan pasaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ada pasukan khas yang akan membantu para vendor lonjakkan jualan mereka sepanjang festival berlangsung dan ini menjadi salah satu platform yang akan memanfaatkan kedua-belah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Fantastic Festival Open House di Kepala Batas di sini baru-baru ini.

Selain itu, dalam majlis yang sama, Siti Nabilah yang meme­gang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan berkenaan telah memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan Pengasas Yaya Empire Perfume, Nadia Mat Isa selaku penaja FFF 11.0.

Mengulas lanjut, Siti Nabilah menerangkan, ini adalah kerjasama kali keenam dengan syarikat Yaya Empire Perfume menunjukkan wujudnya persefahaman dan kerjasama yang baik antara dua belah pihak.

“Saya sendiri pengguna pewangi Yaya Empire, malah kagum dengan cara beliau menguruskan perniagaan selain menyediakan peluang buat golongan suri rumah untuk menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Nadia berkata, pemerkasaan wanita dijadikan keutamaan dan beliau sendiri membantu melonjakkan pendapatan suri rumah yang mampu mencapai tujuh angka sebulan.

“Tahun lepas, kita berjaya membimbing lima usahawan berjaya memperolehi pendapatan tujuh angka, maka tahun ini kita sasarkan 15 orang lagi untuk mencapai matlamat sama.

“Selain itu, kita juga merancang untuk mempelbagaikan lagi pilihan wangian dengan harga yang amat berpatutan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI